Panduan Permohonan Melanjutkan Pelajaran Ke Mesir

Alhamdulillah, tahun demi tahun, kecemerlangan demi kecemerlangan telah dicatat di dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Tahniah diucapkan kepada semua.

Baru-baru ini pihak Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) melalui Jabatan PERUBATANonline turut menerima beberapa emel dari adik-adik yang berminat untuk mengetahui lanjut tentang prosedur melanjutkan pengajian di dalam bidang Perubatan di Mesir.

Justeru, di pihak PERUBATAN, kami mengambil insiatif menyusun semula beberapa maklumat permohonan daripada pihak berautoriti dengan harapan dapat membantu adik-adik memohon dan mendaftar melalui saluran yang sah dan berdasarkan prosedur yang betul.

Secara umumnya, permohonan boleh dibuat melalui dua bentuk.

  1. Permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau mana-mana tajaan atau pinjaman.
  2. Permohonan persendirian terus kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
  3. Permohonan melalui Yayasan Kerajaan Negeri.

Adalah diperingatkan supaya:

  • Semua permohonan kemasukan ke Timur Tengah mesti melalui Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Sijil Sokongan Luar Negara tidak akan dikeluarkan kepada pelajar yang tidak memohon melalui Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Kementerian Pengajian Tinggi tidak melantik mana-mana agen penempatan pelajar untuk menguruskan kemasukan pelajar ke Timur Tengah terutama sekali di Mesir.

PERMOHONAN PERSENDIRIAN TERUS KEPADA KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Senarai Borang, Kelayakan Minimum dan Cara Mengisinya

1) Muat turun Borang Permohonan dan Pendaftaran Pelajar Perubatan Universiti di Mesir : http://jpt.mohe.gov.my/PELAJAR/BORANG%20KPT%20PERUBATAN%20MESIR%202010.pdf

2) Permohonan juga perlu disertakan dengan borang berikut

  1. Borang Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) : http://jpt.mohe.gov.my/PELAJAR/BORANG%20SSLN%202010.pdf
  2. Borang Permohonan Surat Tiada Halangan Mengikuti Pengajian di Luar Negara : http://jpt.mohe.gov.my/PELAJAR/clearence%20letter.pdf

SURAT TIADA HALANGAN (Clearence Letter)

Surat tiada Halangan (Clearence Letter (CL)) adalah untuk pelajar yang hendak melanjutkan pengajian ke luar negara tetapi belum mendapatkan tempat di IPT tersebut. Kementerian Pengajian Tinggi akan mengeluarkan CL kepada pelajar yang layak dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian.

SIJIL SOKONGAN LUAR NEGARA (SSLN)

1. Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) merupakan satu syarat yang dikenakan kepada pelajar yang ingin mengikuti kursus-kursus di luar negara bagi menentukan mereka memenuhi syarat kelayakan minimum untuk mengikuti program pengajian ke luar negara. Ia juga digunakan untuk memperoleh visa pelajar daripada Kedutaan negara luar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan di negara berkaitan. SSLN diperkenalkan sejak tahun 2002.

2. Cara-cara untuk memohon SSLN :

  1. Perlu mengenal pasti terlebih dahulu pencapaian akademik yang diperoleh sama ada memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh universiti luar negara dan memohon secara bertulis untuk mendapatkan SSLN daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Tinggi.
  2. Jika memenuhi syarat kelayakan, pelajar boleh memohon untuk mendapatkan tempat pengajian di IPT luar negara.
  3. Setelah memperoleh tempat pengajian, permohonan untuk mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) hendaklah dikemukakan dengan menggunakan borang KP/SSLN/2002 ke alamat berikut:
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Aras 1, Blok E9, Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
50604 Kuala Lumpur
(u.p Timbalan Pengarah Bahagian Kebajikan Pelajar Luar Negari)

Borang- borang yang perlu diisi adalah seperti berikut:

  1. Borang KP/SSLN/2002A (Maklumat Pelajar)
  2. Borang KP/SSLN/2002B (Surat Jaminan Penaja Kewangan)
  3. Borang KP/SSLN/2002C (Surat Akuan Pelajar)
  4. Borang KP/SSLN/2002C1(Surat Akuan Pelajar Ke Indonesia Sahaja)
  5. Borang KP/SSLN/2002D (Maklumat Ejen Penempatan Pelajar)
  6. Borang KP/SSLN/2002E (Perakuan Kebenaran Ibu Bapa/Penjaga)

Dokumen – dokumen sokongan berikut juga perlu disertakan:

  1. 2 salinan surat tawaran daripada IPT luar negara (yang diiktiraf dan disahkan oleh JPA)
  2. 2 salinan Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan yang disahkan
  3. 2 salinan sijil kelayakan akademik yang disahkan
  4. 2 salinan surat jaminan kewangan yang disahkan
  5. 3 keping gambar foto berukuran pasport

3. SSLN akan dikeluarkan oleh KPT jika semua syarat dipenuhi. Semua salinan dokumen sokongan seperti surat tawaran, sijil peperiksaan, surat beranak, kad pengenalan, surat akuan bank dan lainlain yang berkaitan hendaklah disahkan oleh sama ada Ahli Parlimen, ADUN, pegawai kerajaan kumpulan A, pengetua, guru besar, penggawa/penghulu/ketua kampung.

4. SSLN tidak dikeluarkan kepada pemohon untuk tujuan mendapatkan biasiswa atau pinjaman kewangan bagi pembiayaan pembelajaran tetapi SSLN berperanan sebagai dokumen sokongan untuk mendapatkan visa.

5. Tujuan syarat kelayakan minimum dikuatkuasakan bagi menjamin kualiti pendidikan yang dapat membekalkan sumber tenaga yang berilmu dan berkemahiran tinggi bagi meningkatkan produktiviti ke arah negara maju.

6. Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan SSLN ialah :

  1. Memenuhi syarat kelayakan sebenar(bukan keputusan ramalan) yang ditetapkan oleh KPTM.
  2. Mempunyai surat tawaran pengajian bagi bidang perubatan dan pergigian yang sah daripada IPT luar negara.
  3. Mempunyai sokongan pembiayaan kewangan yang mencukupi bagi sepanjang tempoh pengajian.
  4. Mempunyai penjaga yang ada pertalian keluarga dengan pelajar jika pelajar di bawah umur.

7. SSLN diguna pakai untuk melanjutkan pelajaran ke semua negara luar.

8. SSLN akan dikeluarkan kepada pelajar yang telah mendaftar di IPT luar negara untuk mengikuti pengajian bagi sesi pengajian.

9. SSLN tidak semestinya diperoleh oleh pemohon walaupun mempunyai surat tawaran pengajian daripada IPT luar kerana setiap permohonan perlu memenuhi syarat kelayakan minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia (Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia), bukannya negara luar.

BORANG PERMOHONAN DAN PENDAFTARAN PELAJAR PERUBATAN UNIVERSITI DI MESIR

1. Setiap pemohon yang berhasrat untuk mengikuti pengajian bidang perubatan di universiti Mesir hendaklah memenuhi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Mesir iaitu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperolehi Kepujian dengan sekurang-kurangnya 3B atau B+ dalam semua mata pelajaran.

2. Setiap permohonan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti Mesir perlu mengemukakan dokumen seperti berikut:

  1. Dua (2) salinan Borang KPT/PERUBATAN/MESIR/2010 (Permohonan Dan Pendaftaran Pelajar Perubatan Universiti Di Mesir);
  2. Cabutan Sijil Lahir asal dan empat (4) salinan yang telah disahkan;
  3. Sijil terjemahan SPM (Bahasa Arab) yang asal telah dan empat (4) salinan yang telah disahkan;
  4. Terjemahan cabutan Sijil Lahir (Bahasa Arab) dan 4 salinan yang telah disahkan;
  5. Terjemahan Cabutan Sijil Lahir dan sijil SPM dalam Bahasa Arab perlu dibuat di Institut Terjemahan Negara Malaysia di alamat berikut:
    Institut Terjemahan Negara Malaysia
    Wisma ITNM
    No. 2, Jalan 2/27E
    Wangsa Maju, Seksyen 10
    53300 Kuala Lumpur
    Tel: 03-4149-7210
  6. Terjemahan Sijil SPM dan terjemahan Cabutan Sijil Lahir perlu disahkan oleh Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri Malaysia di alamat berikut:
    Ketua Setiausaha
    Kementerian Luar Negeri
    Bahagian Konsular
    Wisma Putra
    No.1, Jalan Wisma Putra, Presint 2
    62602 PUTRAJAYA
    Tel:03-8887-4159
    Faks: 03-8889-2923
  7. Tujuh (7) keping gambar warna berukuran pasport;
  8. Empat (4) salinan pasport Malaysia yang telah disahkan (Muka surat yang mengandungi maklumat pelajar)
  9. Bayaran pengurusan dan pendaftaran sebanyak USD 50.00 bagi permohonan perubatan ke universiti di Mesir melalui bank draf dan hendaklah dicatatkan atas nama Director, Malaysian Students Department, Cairo
  10. Kenyataan pengesahan borang yang bersetem
  11. Dua (2) salinan keputusan SPM yang disahkan;
  12. Dua (2) salinan Kad Pengenalan yang disahkan;

3. Borang kemasukan dan dokumen lain yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan ke alamat di bawah pada atau sebelum 31 Mei 2010:

Pengarah
Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (UHEJPM)
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
Aras 2 Blok E9, Parcel E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62505 PUTRAJAYA

4. Permohonan hanya melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). KPT tidak mendaftar mana-mana ejen penempatan pelajar bagi menguruskan permohonan dan penempatan pelajar ke Timur Tengah.

Permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam atau Majlis Amanah Rakyat atau mana-mana tajaan atau pinjaman.

Bagi adik-adik yang memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), anda hanya perlu ke laman http://esilav2.jpa.gov.my/ kemudian MENELITI dan MELALUI prosedur yang telah ditetapkan oleh kedua-dua badan tersebut. Prosedur permohonan kepada KPT akan diselesaikan melalui badan-badan ini setelah permohonan biasiswa diterima.

Adik-adik diminta untuk mengambil perhatian serius tentang syarat-syarat permohonan, tarikh tutup permohonan, tarikh temuduga dan tarikh Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor (bagi pemohon biasiswa JPA sahaja) dan sebagainya.

Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi atas talian (on-line application) melalui laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh keputusan SPM diumumkan secara rasmi.

Tarikh tutup permohonan tajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) adalah 7 hari selepas permohonan dibuka.

I. Syarat-Syarat Umum

  • Warganegara Malaysia.
  • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
  • Mempunyai kesihatan yang baik dan tidak mengidap penyakit-penyakit kritikal seperti Hepatitis, Aids, HIV dan sebagainya.

II .Syarat-Syarat Khusus PILN Perubatan (Mesir dan Jordan)

1. Mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam sembilan (9) matapelajaran berikut:

  • Bahasa Melayu;
  • Sejarah;
  • Pendidikan Islam atau Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah atau Pendidikan Syariah Islamiah atau Pendidikan Moral;
  • Fizik;
  • Kimia;
  • Biologi;
  • Matematik;
  • Matematik Tambahan;
  • Bahasa Inggeris

2.Mendapat sekurang-kurangnya Lulus dalam matapelajaran berikut :

  • Bahasa Arab (Komunikasi) atau Bahasa Arab Tinggi

Maklumat lanjut mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon boleh diperoleh dengan melayari laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh iklan disiarkan.

Calon hendaklah membaca dan memahami kesemua maklumat mengenai program/bidang kursus,syarat-syarat permohonan dan cara memohon sebelum membuat permohonan.

Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di hospital-hospital Kerajaan yang terpilih di seluruh negara akan diadakan selama 5 hari mulai 22 hingga 26 Mac 2010. Program ini diwajibkan kepada semua calon yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di bawah tajaan JPA.

Calon-calon dikehendaki menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.jpa.gov.my :

  • Keputusan panggilan bagi mengikuti program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor : 19 Mac 2010
  • Keputusan panggilan temuduga JPA : 29 Mac 2010

Temuduga JPA akan dijalankan di beberapa pusat di seluruh negara mulai 5 hingga 8 April 2010. Bagi calon yang terpilih untuk menghadiri temuduga diwajibkan untuk:

  • Membawa Borang Pengesahan Pendapatan Bulanan Keluarga yang telah disahkan dan dokumen-dokumen lain yang ditetapkan; dan
  • Menduduki Ujian Khas Biasiswa Persekutuan JPA yang dijalankan melalui aplikasi atas talian (on-line application) melalui laman web http://www.jpa.gov.my mulai 29 Mac 2010 sehingga 9 April 2010.

Pelajar-pelajar yang memohon tajaan MARA boleh menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http:// www.mara.gov.my :

  • Keputusan panggilan dan maklumat temuduga MARA : 30 Mac 2010

Pertanyaan mengenai masalah teknikal semasa mengisi borang permohonan atas talian boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3541 (2 talian).

  • Talian-talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam mulai tarikh keputusan SPM diumumkan secara rasmi.

Pertanyaan mengenai masalah teknikal semasa menduduki Ujian Khas Biasiswa Persekutuan JPA atas talian boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8316 4422, 03-8316 4435 dan 03-8316 4055. Talian-talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam mulai 29 Mac 2010 sehingga 9 April 2010.

Pertanyaan mengenai program tajaan JPA boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3704 (10 talian), pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat piln2010@jpa.gov.my

Pertanyaan mengenai program tajaan MARA boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA di talian 03-2691 5111 (sambungan 3620, 3625, 3623, 3629, 3627, 1173, 1166, 1172, 1109, 1131 dan 1142) pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat informasibpp@mara.gov.my

Calon-calon hendaklah sentiasa melayari laman web http:// www.jpa.gov.my dan laman web http:// www.mara.gov.my dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan dan pengumuman terkini mengenai permohonan PILN 2010.

Permohonan melalui Yayasan Kerajaan Negeri

Bagi tajaan Yayasan Negeri, adik-adik digalakkan untuk mendapatkan maklumat tajaan dan pinjaman dari Yayasan Kerajaan Negeri masing-masing. Ketiga-ketiga borang KPT di atas iaitu :

  1. Borang Permohonan dan Pendaftaran Pelajar Perubatan Universiti di Mesir
  2. Borang Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN)
  3. Borang Permohonan Surat Tiada Halangan Mengikuti Pengajian di Luar Negara

juga turut penting untuk dipastikan diisi dan melalui prosedur-prosedur pengesahan sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Unit Hal Ehwal Jabatan Penuntut Malaysia
Bahagian Hal Ehwal Dan Pembangunan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
Cik Idura/Puan Suhana : 03-88835873
Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah
Atase Pendidikan (Akademik)

Bagi mengenali apa itu PERUBATAN, adik-adik boleh layari http://perubatan.org. Adik-adik juga boleh mendapatkan kemaskini semasa, berita dan artikel di http://perubatan.org/v3 dan mengunjungi blog-blog pelajar-pelajar perubatan Malaysia-Mesir di http://komuniti.perubatan.org.

Semoga berjaya semua.

Sekian, terima kasih.

Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
Taqwa, Syifa’ Rahmah

Disediakan oleh :
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)

komen membina peribadi mulia