[ KENYATAAN RASMI: JALUR MASA MAJLIS MESYUARAT PEMILIHAN CAWANGAN (MMPC) 2018/2019 ]

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala limpah dan kurnia-Nya kepada kita semua. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua tergolong sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang mendapat syafaat baginda di hari akhirat kelak.

 وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. (as-Syura: 38)

Dalam Islam, terdapat banyak kaedah pemilihan pemimpin baik sekecil-kecil jawatan sehinggalah jawatan yang tertinggi. Jika kita teliti sirah golongan terdahulu, mereka melaksanakan pelbagai kaedah pemilihan yang bertepatan dengan syarak dan memberi manfaat untuk Islam serta masyarakat keseluruhannya. Antaranya ialah kaedah pemilihan secara syura atau dikenali sebagai kaedah perbincangan. Pelantikan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah pertama umat Islam adalah hasil syura antara para sahabat daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Maka, kita sebagai umat Islam perlu mengambil tauladan daripada amalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda, dan berusaha mengamalkannya dalam ruang lingkup kehidupan kita.

Sistem Mesyuarat

Pada sesi kali ini, insya-Allah Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC), akan memainkan peranan dalam membincangkan serta membuat keputusan bagi menentukan barisan pimpinan PERUBATAN Cawangan Tanta akan datang. Perbincangan akan dilakukan bersama-sama ahli MMPC yang telah dilantik.

Di samping itu, MMPC juga akan bergerak mengikut fasa sama seperti jalur masa dan fasa pilihan raya di cawangan lain. Butiran adalah seperti berikut:

Pengumuman AJKT Kekal : 10 November 2018

Tarikh Pengumuman Calon AJKT : 19 November 2018

Tempoh Bantahan : 19 November – 27 November 2018

Keputusan Calon AJKT : 2 Disember 2018

Marilah kita bersama mengambil cakna akan proses pemilihan pimpinan AJKT PCT pada sesi akan datang agar kita sama-sama peroleh manfaat daripadanya.

Wa Allahu ta’ala a’lam.
Sekian, terima kasih.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Siiru a’la barakatillah,
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“Satu Hati, Satu PCT”

Disediakan oleh,
Muhammad Nur ‘Ariff bin Rosli,
Pengerusi Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC),
PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *