[ KENYATAAN RASMI : KUTIPAN YURAN & TKS 2018/2019 ]

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam dan syukur ke hadratNya kerana kita masih lagi diberi peluang untuk hidup pada hari ini untuk merasai nikmat iman dan Islam. Selawat serta  salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

(2:261)

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

 

Sejajar dengan kenaikan tampuk pimpinan yang baharu, PERUBATAN Cawangan Tanta di bawah kelolaan Jabatan Bendahari akan menjalankan kutipan yuran tahunan PERUBATAN.

Untuk makluman, PERUBATAN Cawangan Tanta kali ini akan menjalankan sistem kutipan yuran secara kolektif. Kolektif yang dimaksudkan ialah sistem kutipan yuran ahli yang mengandungi dua jenis kutipan yang dikutip secara serentak iaitu Tabung Kasih Sayang (TKS) dan yuran PERUBATAN. Sistem ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan penindanan kutipan yang pelbagai, seterusnya mengurangkan beban ahli melalui kutipan secara sekaligus.

Justeru, yuran bagi ahli yang mendapat tajaan adalah sebanyak 40LE (Egyptian Pound) manakala bagi ahli yang tiada tajaan adalah sebanyak 20LE (Egyptian Pound).

Seperti yang termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN Fasal 8, Perkara 1 yang menyebut:

 

Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran keahlian sebanyak 5 (lima) Egyptian Pound dan yuran tahunan sebanyak 20 (dua puluh) Egyptian Pound.

 

Hasil kutipan yuran ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan tahunan PERUBATAN. Di sini ingin diingatkan bahawa ahli yang telah membayar yuran sahaja yang layak untuk mengundi dan menghadiri Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan (MTC) dan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT).

 

Dengan ini diumumkan bahawa fasa kutipan yuran bagi PERUBATAN Cawangan Tanta akan bermula pada 29/10/2018 dan berakhir ketika hari pengundian Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Bayaran boleh dijelaskan kepada Bendahari Batch masing-masing atau kami sendiri. Setiap bayaran yang dilakukan akan disertakan resit sebagai bukti.

 

Kerjasama daripada pihak anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga keterlibatan semua ahli dapat memberi manfaat yang besar dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan Tanta yang tercinta, di samping dapat menjadi saham amalan kebaikan kita di akhirat kelak.

 

Siiru Ala Barakatillah. Sekian, terima kasih.

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

Jabatan Bendahari,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *