[ARTIKEL JAKSI : BIAH SOLEHAH ]

Sebut sahaja tentang biah solehah, apakah yang terbayang di kotak minda anda?

 

Suatu kelompok manusia yang berjalan tunduk ke bumi tatkala terserempak dengan insan berlainan jantina. Golongan gadis yang yang tidak lekang dengan mushaf di tangan. Bercakap sehingga tidak keluar suara, kelompok bulatan bulatan bijak yang diadakan di tepi pantai, individu-individu yang aktif berkicau tentang pentingnya menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Tipikal.

Hakikatnya biah solehah bukanlah hanya berkisar tentang ikhtilat semata.

 

 

 

 

Biah berasal dari perkataan arab yang membawa erti persekitaran (condition/environment/circumstances). Solehah pula membawa maksud baik. Biah solehah adalah suatu keadaan baik yang terbentuk dari 3 elemen yang saling memerlukan.

Elemen pertama ialah masyarakat yang bersyariat, ukhuwah (persaudaraan) yang kukuh dan kebersihan. Elemen-elemen ini perlu wujud serentak bagi mewujudkan sebuah biah yang solehah.

 

Masyarakat yang bersyariat bukanlah hanya tertumpu kepada pergaulan di antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) sahaja, tetapi ianya merangkumi segenap aspek kehidupan baik dari segi ekonomi, perundangan, pentadbiran, pendidikan, sosial dan kebudayaan.

Struktur sosial yang bersyariat merupakan nadi utama dalam menilai tahap pengamalan syariat di dalam sesebuah masyarakat. Hal ini kerana masyarakat yang mengamalkan cara-cara pergaulan, berpakaian dan bermuamalah sesama manusia seiring dengan garis panduan yang ditetapkan Allah adalah penjamin keharmonian sesebuah komuniti.

 

Misalnya, kita semua berpakaian, tetapi pakaian bagaimanakah yang menepati syariat? Marilah sama-sama kita selak balik helaian surat cinta kiriman Ilahi yang sudah lama tidak bersentuh.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Surah Al-Ahzab: 59)

Mafhumnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

di dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w bersabda,

“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).”

(Hadis Riwayat Muslim)

Elemen kedua – Ukhuwah.

Persaudaraan dalam Islam itu tidak tertakluk kepada sebarang terma dan syarat. Bukan jua ukhuwah geli-geli yang mempunyai maksud dan tujuan tertentu.

 

Firman Allah s.w.t,

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka perbaikkanlah hubungan dengan dua saudara kamu, bertakwalah kepada Allah, semoga kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat : 10)

 

Pembentukan ikatan yang kukuh bermula apabila setiap hati manusia mempunyai cita-cita yang satu: menuju Allah. Apabila hati tertumpu kepada Allah, maka senanglah untuk masyarakat bersatu, tetapi perlu diingatkan kita hidup bersama pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza. Apabila terlihat perkara-perkara mungkar berlaku, kita haruslah menjadi orang pertama yang berdiri untuk membanteras kemungkaran tersebut tetapi perlulah dengan cara yang penuh hikmah.

 

Nah, di sini kita akan melihat bagaimana indahnya manifestasi ukhuwah itu apabila kita merasa sayang dan tidak rela jika saudara seagama kita berterusan bergelumang di dalam lembah kemungkaran dan kemurkaan Allah.

 

“…dan Dia yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, maha Bijaksana.” (al-Anfal, 8:63)

 

Sungguh, persaudaraan dalam Islam itu tidak tertakluk kepada sebarang tema dan syarat.

Tidak mengejutkan bila mana Baginda Rasul pernah menasihati kita agar bersahabat dengan pembuat minyak wangi dan bukannya tukang besi.Semuanya kerana biah. Biah yang solehah, suasana dan persekitaran yang diwujudkan dalam rangka mencari keredaan-Nya.Percayalah, pilihan untuk menjadi pembuat minyak wangi ataupun tukang besi itu berada di tangan kita sendiri.Kebersihan manifestasi keimanan.

 

Sabda Rasulluah s.a.w, “Sesungguhnya Allah itu bersih dan sukakan kebersihan” – Hadis Riwayat Tarmizi.Bersih itu bukan sahaja didefinisikan dengan baju yang bersih tanpa sebarang palitan kuah kari ikan ataupun tingkap rumah yang licin berkilat tanpa habuk. Bersih itu termasuklah jasmani dan nurani . Hati nurani yang bersih itu ibarat permata paling cantik yang terhasil daripada tekanan kerak bumi yang maha hebat.

Manusia secara fitrah dan lahiriyahnya memang menyukai perkara-perkara yang bersih, cantik dan membenci perkara-perkara yang kotor. Islam sebagai agama yang paling sesuai dengan fitrah manusia tidak sekali-kali membenarkan umatnya membuat kekotoran dan kerosakan di muka bumi ini.

 

Jika kita sedar bahawa dunia ini hanyalah ibarat sebuah jambatan untuk menuju destinasi terakhir yang kekal abadi, pasti kita akan bersungguh-sungguh berusaha untuk menempatkan diri di tempat terbaik.Persoalannya, tempat terbaik yang manakah yang paling layak buat kita? Syurga tertinggi atau neraka terbawah?

 

Tuntasnya, biah yang solehah, suasana persekitaran yang baik menjadi faktor penolak yang paling penting buat kita menjadi seseorang yang lebih baik. Bukankah seorang yang baik itu adalah seseorang yang lebih baik dari hari semalamnya?Biah solehah.Suasana dan persekitaran yang diwujudkan dalam rangka mencari keredaan-Nya, pastilah akan melahirkan insan-insan yang turut dahagakan kasih dan sayang-Nya.

 

Kita semua mempunyai kisah silam yang kelam, dan kita semua juga ada peluang untuk melakar masa hadapan yang begemerlapan.

 

#PERUBATANKelasPertama

#MemimpinGelombangISLAH

 

“Haq Tertegak, Biah Terpelihara”

Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)

Perubatan Cawangan Tanta 2018/2019.

 

SUMBER ARTIKEL DARIPADA :

Jabatan Penerbitan dan Penerangan, 
PERUBATAN sesi 2015/2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *