[ KENYATAAN RASMI: PENANGGUHAN PROGRAM ]


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam atas segala nikmat iman dan Islam yang telah dikurniakan kepada kita sebagai bekalan menempuhi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas usaha baginda, sehingga hari ini kita masih menikmati keindahan Islam yang sebenar-benarnya.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tanpa kita sedari, masa pantas meninggalkan kita. Bergelar mahasiswa sains kesihatan, seringkali kita diuji pelbagai ujian dalam menjalankan aktiviti harian termasuklah juga ujian dalam menghadapi peperiksaan. Maka, seperti tahun-tahun sebelum ini, kini tiba masanya mahasiswa sains kesihatan diuji kefahaman, penguasaan dan skil dalam subjek yang dipelajari.

Oleh yang demikian, PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) memberikan seluasnya ruang dan peluang buat ahli PCT untuk memanfaatkan masa yang ada dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. PCT akan menghentikan seketika pergerakan dan beberapa program. Pergerakan dan program PCT akan ditangguhkan bermula 5 Mei 2018 sehingga 25 Julai 2018.

Buat pengetahuan semua, beberapa perkara telah diputuskan oleh Majlis Pengerusi 2018/2019 untuk meneruskan bentuk program yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian program dan keadaan semasa. Antaranya ialah:

  1. Pembawaan Smart Circle yang tidak memberi fokus kepada silibus.
  2. Aktiviti-aktiviti berkala seperti qiamulail dan TWEET (termasuk mesyuarat).
  3. Program/aktiviti yang sepanjang fasa IHRAM dan MESRA.

Kami mewakili barisan pimpinan PCT menyeru kepada semua ahli agar bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain dalam menyusun strategi dan membudayakan perkongsian ilmu sebagai persediaan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Berusahalah bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan natijah kerana apa yang dinilai di sisi Allah adalah usaha yang dilakukan, bukan keputusan semata-mata. Tidak lupa untuk bertawakal kepada Allah semoga apa yang dilakukan berdasarkan petunjuk dan hidayah daripada-Nya.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat ke 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menjaga hubungan dengan Sang Pencipta di samping hubungan sesama manusia. Moga ada keberkatan dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Sehebat mana usaha yang kita lakukan untuk menempuhi peperiksaan pada kali ini, jangan dilupakan kebergantungan kita semua kepada Allah. Peperiksaan hanyalah wasilah. Niat menuntut ilmu adalah untuk mengeluarkan diri daripada kejahilan. Namun wasilah perlulah dibuat sehabis baik supaya terbukti niat yang kita tetapkan.

Seeru ‘ala Barakatillah.

#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH

“Satu Hati, Satu PCT”
“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berkualiti”

Abdel Haqqul Mateen Bin Abd Rani
Naib Pengerusi I,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

Anis Syakirah binti Mohd Ramli
Naib Pengerusi II,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *