Akhawat pun nak pahala berjemaah!

 

“WANITA LEBIH BAIK DI RUMAH”

Firman Allah SWT: “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang yang rukuk” (surah Al-Baqarah: 43). Ayat ini memberi maksud untuk kita menunaikan solat secara beramai-ramai dalam erti kata lain dengan mengikut jemaah.

Solat berjemaah merupakan suatu ibadah yang dijanjikan oleh Allah ganjarannya, iaitu 27 kali ganda melebihi solat secara bersendirian.

Antara sunah Rasulullah SAW ialah solat berjemaah di masjid. Bagaimana para suami pada hari ini ingin mempraktikkan sunah tersebut? Hal ini kerana jika si suami solat berjemaah di masjid maka si isteri solat berseorangan di rumah. Jadi, sudah pasti si isteri tidak akan dapat pahala solat berjemaah sekiranya suami berjemaah di masjid atau surau.

Islam tidak pernah menghalang para suami solat di rumah atau mengimamkan solat di rumah bersama anak isteri. Malahan, sewajarnya bagi suami mengasingkan hari-hari tertentu untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga. Ini bukan kerana keluhan suara hati para isteri tetapi peranan menjadi khalifah di rumah adalah dengan mengetuai ahli keluarga dalam melakukan ibadah.

Maka solat adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat berjemaah adalah penyinambungnya. Maksudnya, kesan daripada solat berjemaah yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti membawa keberkatan dalam ibadah dan kehidupan.

Namun begitu, adakah Islam memberatkan solat berjemaah di masjid terhadap kaum wanita sebagaimana dituntut ke atas kaum lelaki? Dan bagaimana pula bagi mereka yang belum berumah tangga?

Wanita lebih baik solat di rumah. Namun Rasulullah bersabda “Jika isteri-isterimu meminta izin ke masjid-masjid, maka izinkanlah mereka” (hadis riwayat Muslim, Bukhari, Ahmad, dan Ibn Hibban). Tiada hadis yang melarang wanita keluar ke masjid untuk berjemaah, bahkan dilarang menegah wanita ke masjid untuk solat berjemaah. Rasulullah menyarankan supaya memberi keizinan kepada wanita ke masjid apabila mereka memohon keizinan.

Bagi wanita bujang, bolehlah lebih kerap ke masjid berbanding yang telah berkahwin.

Walaupun begitu, ulama bersependapat bahawa solat orang perempuan di rumah adalah lebih baik daripada solat di masjid bersandarkan hadis Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah di kalangan wanita untuk ke masjid-masjid Allah. Dan rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka” (hadis riwayat Abu Daud).

Dan dalam hadis lain daripada Abu Hurairah, Baginda bersabda: “Janganlah kamu melarang hamba Allah di kalangan wanita untuk ke masjid-masjid Allah. Hendaklah mereka keluar tanpa berhias-hiasan dan berwangi-wangian.” (hadis riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Darimi, dan Baihaqi).

Walaupun demikian, Rasulullah SAW menekankan kaum wanita digalakkan dan diutamakan berada di rumah dan sebaik-baik masjid bagi kaum wanita ialah rumah mereka sendiri, kecuali bersolat di Masjid al-Haram seperti yang diriwayatkan Abu Amru asy-Syaibani yang bermaksud: “Daripada Abi Amru asy-Syaibani, Abdullah bin Mas’ud berkata; Tidak ada bagi seseorang wanita lebih baik (afdhal) daripada solatnya di rumah melainkan di al-Masjid al-Haram.”

Islam begitu menjaga kesucian dan mengangkat tinggi darjat seorang wanita. Oleh yang demikian, teruskan memelihara kesucian ini agar ia terus mekar harum tanpa dicemari fitnah lantas kita berjaya dinobatkan sebagai salah seorang bidadari-bidadari syurgaNya. Insya-Allah. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak. Perlakukan Ramadan kali ini seolah-olah ia merupakan Ramadan terakhir buat kita. Tingkatkan amal, kerana sesungguhnya kita hanya insan yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Semoga bulan maghfirah ini mampu menjadi penghapus segala dosa-dosa kita yang lalu.

#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“Profesional, Berintegriti, Bersistematik”

Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *