[ BERITA: PERTEMUAN ANTARA AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI PERUBATAN CAWANGAN TANTA (PCT) BERSAMA KOORDINATOR FAKULTI PERUBATAN ]

TANTA, 27 Mac 2018 – Telah berlangsung satu pertemuan khas diantara barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Tanta bersama Dr. Amal Mahfouz, Koordinator Fakulti Perubatan Universiti Tanta yang bertempat di Pejabat Koordinator Fakulti Perubatan.

Perjumpaan ini telah diketuai oleh saudara Anas bin Azmi selaku Pengerusi PERUBATAN Cawangan Tanta sesi 2018/2019 serta 11 orang AJKT yang lain.

Tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk memperkenalkan PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal serta kebajikan pelajar Sains Kesihatan Malaysia di Universiti Tanta. Malah, kesempatan ini juga digunakan untuk memperkenalkan barisan pimpinan PERUBATAN Cawangan Tanta sesi 2018/2019.

Selain itu, beberapa perkara penting telah dibincangkan oleh para AJKT bersama Dr. Amal Mahfouz. Antaranya ialah:

1- Penerangan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh PCT
2- Masalah universiti
3- Masalah pelajar Malaysia
4- Isu semasa dan panduan keselamatan menjelang pilihanraya Mesir

Berkenaan isu semasa dan panduan keselamatan menjelang pilihanraya Mesir, Dr. Amal menasihati pelajar Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Kata beliau, sepanjang tempoh tersebut, pelajar Malaysia disarankan agar sentiasa berada di rumah.

Berkenaan masalah universiti pula, Doktor Amal memaklumkan bahawa terkini fakulti perubatan mengalami masalah lif yang mana hanya satu sahaja daripada tiga lif di fakulti tersebut yang berfungsi. Katanya, masalah ini dalam makluman beliau dan akan diambil tindakan untuk dibaiki. Buat sementara ini, Dr. Amal menyarankan supaya pelajar Malaysia menggunakan tangga dan mengutamakan doktor dan juga golongan yang lebih memerlukan untuk sementara waktu. Adapun sekiranya ada pelajar yang mengalami masalah kesihatan dan perlu menggunakan perkhidmatan tersebut boleh memaklumkan terus kepada Dr. Amal.

Akhir sekali, beliau menasihatkan supaya semua pelajar belajar bersungguh-sungguh, hadir ke kuliah dan mengambil peluang untuk bertanya sebanyak mungkin sekiranya tidak faham dalam pembelajaran. Tak lupa juga nasihat beliau agar semua pelajar Malaysia mengambil kesempatan sewaktu di Mesir ini untuk menguasai bahasa arab sebaik mungkin supaya dapat mempelajari dan memahami Al-Quran dengan baik serta menjadi nilai tambah sewaktu di alam pekerjaan kelak.


Sesi ramah mesra pimpinan PCT bersama Dr. Amal diakhiri dengan sesi bergambar. Pihak PCT mengharapkan dengan adanya perjumpaan seperti ini akan dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli PERUBATAN Cawangan Tanta terutamanya bagi pelajar perubatan serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara pelajar Malaysia dan juga pihak fakulti.

“Satu Hati, Satu PCT”
#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH

PERUBATAN Cawangan Tanta 2018/2019.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *