[ BERITA : PERTEMUAN BERSAMA KETUA POLIS EL-GHARBIYAH ]

TANTA, 25 Disember 2017 – Telah berlangsung pertemuan berkala diantara PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) bersama Ketua Polis Muhafazah El-Gharbiyah.

Pertemuan ini telah disertai oleh saudara Muhammad Nur ‘Ariff bin Rosli, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Tanta sesi 2017/2018 dan Ustaz Ahmad Shahir bin Zulkarnain, Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) sesi 2017/2018.

Pertemuan yang bermula pada pukul 2.30 petang itu digunakan untuk melaporkan masalah-masalah yang berlaku di sekitar Tanta yang terpaksa dihadapi oleh pelajar Malaysia di sini. Antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai prosedur permohonan visa yang semakin sukar dan memakan masa yang lama. Pihak polis mengatakan bahawa ianya merupakan prosedur dan ketetapan baru yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Selain itu, juga dibangkitkan soal isu keselamatan yang semakin menjadi-jadi belakangan ini seperti kes cabul, gangguan seksual . Untuk makluman, laporan kes keselamatan yang diterima oleh PCT sepanjang bulan 11 dan 12 adalah sebanyak 5 kes (3 kes gangguan seksual/cabul dan 2 kes ragut), menunjukkan peningkatan bilangan kes berbanding bulan-bulan sebelum ini.

Pihak polis menasihatkan agar ditingkatkan tahap penjagaan keselamatan diri dan menasihati pelajar Malaysia supaya mengelakkan daripada menggunakan ‘tuk-tuk’ Ini adalah kerana penggunaan ‘tuk-tuk’ dikhuatiri tidak selamat dan terdedah kepada risiko cabul dan ragut terutamanya pada waktu malam.

Pertemuan tersebut berakhir dengan ucapan selamat daripada pihak polis dan berharap agar PCT dan DPMT untuk sentiasa menghubungi mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Satu Hati, Satu PCT”
#PERUBATANKelasPertama

PERUBATAN Cawangan Tanta 2017/2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *