[ SONATA DI BUMI ANBIYA ]

mount-sinai-snow-wallpapers-high-resolution

 

“Assalamualaikum, murid-murid..” Cikgu Salmah memberi salam sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas 5 Anggerik.

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh..” jawab semua anak muridnya.

“Baik, kamu semua boleh duduk. Okay, hari ini Cikgu nak lantik salah seorang daripada kamu untuk menjadi ketua kelas 5 Anggerik ni.”

“Saya! Saya, cikgu! Saya nak bagi cadangan.” Cepat sahaja Halim mengangkat tangan.
“Ha kamu, silakan.” Cikgu Salmah memberi izin.
“Saya nak cadangkan Amirul, kawan baik saya untuk jadi ketua kelas. Amirul ni baik, bertanggungjawab, suka tolong kawan-kawan cikgu..” kata Halim sambil mengenyitkan mata ke arah Amirul.

“Betul tu cikgu, saya pun setuju kalau Amirul yang jadi ketua kelas kami. Tak ada orang lain lagi yang layak nak jadi ketua kelas ni cikgu.” sokong Hajar.

“Hmm, yang lain macam mana? Ada cadangan nama lain?” tanya Cikgu Salmah.

Semua murid berpandangan antara satu sama lain lantas serentak menjawab, “Tak ada cikgu!”

“Okay kalau macam tu, Cikgu anggap semua setuju untuk kita lantik Amirul sebagai ketua kelas ini.” Semua anak muridnya mengangguk setuju.

“Amirul, boleh ke depan sekejap untuk bagi sikit ucapan?”

Amirul yang sedari tadi hanya mendiamkan diri terus bergerak ke hadapan kelas seperti yang disuruh oleh Cikgu Salmah.

“Err… saya..saya..”
Amirul takut-takut untuk bersuara lalu memandang Cikgu Salmah dengan pandangan simpati.

Cikgu Salmah yang faham akan perasaan Amirul berjalan mendekatinya lalu membisikkan sesuatu,
“Saya tahu Amirul, awak mampu. Saya yakin dengan kebolehan awak.”

Setelah mendengar kata-kata dorongan daripada Cikgu Salmah, Amirul seperti mendapat semangat lalu meneruskan ucapannya.

“Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi ketua kelas 5 Anggerik ini. Insya-Allah saya akan berusaha untuk menjadi ketua kelas yang terbaik buat kalian semua. Saya harap kalian dapat bantu saya ya.”

Tepukan gemuruh daripada kawan-kawan sekelas membuatkan Amirul lebih semangat dan berazam untuk laksanakan amanah yang baru diterima dengan sebaiknya.

‘Insya-Allah, aku boleh,’ bisiknya.

******************************************************

Bunyi hujan turun melenyapkan kenangan 10 tahun yang lalu. Amirul yang sedang duduk di meja belajar hanya memandang kosong borang di hadapannya; BORANG CALON AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI PERUBATAN.
Sesekali tubuhnya sedikit menggigil akibat cuaca sejuk yang baru saja nak bermula.

Winter datang lagi,’ bisik Amirul sambil memandang ke arah luar.

“Amirul, oh Amirul.. kau dah siap belum isi borang tu?”
Faiz, kawan serumah Amirul yang baru sahaja selesai mengulangkaji datang menjenguknya di bilik.

“Belum lagi. Aku tak ada idea nak tulis apa kat manifesto ni.”
“Owh, ye ke? Jom aku tolong kau mana yang aku mampu.”

Amirul lantas memberikan borang tersebut kepada Faiz.

Setelah 10 tahun, kenangan itu berulang kembali. Dahulu, semua kawannya bersunguh-sungguh mencadangkannya sebagai ketua kelas. Kini, abang seniornya pula sanggup membelikan borang calon AJKT untuknya.

Saat dia dipelawa untuk menjadi seorang AJKT, awalnya dia berasa tidak yakin dengan dirinya. Dia fikir, ada lagi orang yang lebih layak daripada dirinya untuk menjadi pimpinan di bumi Tanta ini.

Setiap tahun, akan ada pilihan raya bagi memilih pimpinan untuk memimpin komuniti pelajar Malaysia yang kecil di Tanta ini. Setiap tahun juga akan berubahlah tampuk pimpinan persatuan di sini. Kali ini, tiba pula giliran dia menjadi salah seorang calon. Melihatkan kesungguhan dan semangat yang diberikan oleh kawan-kawannya, Amirul yakin dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Moga ini menjadi satu titik perubahan pada dirinya untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Dari Abdullah, ia berkata: Nabi SAW, bersabda:
“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta pertanggung jawapannya. Maka seorang imam adalah pemimpin dan akan diminta pertanggung jawapannya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya dan ia akan diminta pertanggung jawapannya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya, dan ia pun akan diminta pertanggung jawapannya. Dan seorang budak juga pemimpin atas harta tuannya dan ia juga akan diminta pertanggung jawapannya. Sungguh setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawapannya.”

Musim berubah mengikut kadar ketentuan Allah, seperti berlalunya musim luruh, datang musim sejuk lantas hadir musim bunga kemudian diganti dengan musim panas. Begitu juga dengan pemimpin. Kadang-kadang ada waktunya kita menjadi rakyat yang dipimpin, dan sampai suatu saat, boleh jadi kita pula akan menggantikan pemimpin yang sedia ada untuk memimpin. Begitulah putaran hidup.

Amanah yang diberikan hendaklah kita laksanakan dengan sebaiknya. Yakin dengan janji Allah. Jika kita mudahkan urusan orang lain, insya-Allah, Allah akan memudahkan urusan buat kita di dunia dan di akhirat.
Kita hidup di atas muka bumi Allah ini bertujuan melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita:

i. Untuk beribadah kepada Allah.
”Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku..” (Adz-dzariyat: 56)

ii. Untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah. Padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah: 30)

iii. Untuk menyampaikan dakwah.
“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (al-Imran: 110)

Oleh itu, tak kira walau apa pun posisi kita, sama-samalah kita tunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semoga dengan sedikit amalan kebaikan yang kita laksanakan, Allah ganjari dengan sesuatu yang lebih hebat pada masa akan datang. Insya-Allah.

Hamba Allah,
6 Disember 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *