[ BELIAU PEMIMPIN LUAR BIASA ]

sultan salahudin

Proses pemilihan pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh diambil remeh dan dipandang sebelah mata. Pemilihan yang betul berdasarkan apa yang telah digariskan Islam bakal melahirkan pimpinan yang hebat dan amanah dalam melaksanakan tugas. Maka, salahlah tanggapan sesetengah kelompok individu yang bukan sahaja culas dalam memilih pemimpin malah tidak mahu ambil tahu langsung soal masyarakat dan kepimpinan.

Sejarah-sejarah terdahulu sekiranya diselusuri dengan baik pasti menemui banyak panduan dan teladan yang dapat kita cungkil dan pelajari sama ada dari sudut keberjayaan atau kegagalan sebuah ketamadunan melalui kepimpinan orang-orang terdahulu.

DIA SULTAN YANG MEMBUKA BAITUL MAQDIS

Sultan Salahuddin al-Ayyubi seorang tokoh pahlawan Islam dan raja yang gagah. Ketokohan beliau memimpin pasukan tentera merampas kembali Baitulmaqdis (al-Quds) membuahkan kejayaan setelah penjajahan hitam selama 88 tahun. Malah kejayaan menghancurkan tentera salib terpahat dalam sejarah sebagai lambang kejayaan agung menundukkan musuh yang kejam.

Beliau juga seorang yang sangat warak dalam beribadah hingga beliau digambarkan sebagai seorang abid pada waktu malam yang sentiasa berzikir dan bermunajat kepada Allah. Siangnya seperti singa yang tangkas berjuang di medan pertempuran.

Solat berjemaah dan puasa sunat adalah rutin harian yang tidak pernah ditinggalkan. Yang menjadi kekuatan perjuangan beliau adalah ikhlas dalam menegakkan kalimah Allah. Menurutnya, perjuangan yang berasaskan kaum atau bangsa, sekali-kali tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan yang berpaksikan agama Islam sahaja yang menjamin kejayaan yang gemilang.

Setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitulmaqdis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristian, “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semua tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?”

Jawab Sultan Salahuddin, “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan di luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata, “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?”

Sultan Salahuddin menjawab, “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasul-Nya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah perintahkan dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki tersebut pun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan.

PEMIMPIN YANG MEMBIMBING

Pemimpin sebenar bukanlah pemimpin yang hanya sekadar mampu melontarkan kata-kata manis tanpa melaksanakan apa yang dikatakan bahkan pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu membimbing orang yang dipimpinnya sama ada tentang dunia mahupun akhirat.

Pemimpin sebeginilah yang layak diiktiraf bukan sahaja sebagai umara’ malah juga sebagai ulama malah disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Sesungguhnya perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang di langit yang menjadi pedoman dalam kegelapan di darat dan laut. Apabila bintang telah malap, maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan.” (Riwayat Ahmad)

Tidak hairanlah sekiranya orang lelaki tua beragama Kristian yang bertemu Sultan Salahuddin itu cukup yakin untuk memeluk agama Islam melalui bimbingan tindakan dan kata-kata yang dilontarkan pemimpin hebat sanjungan sepanjang zaman itu.

AKHLAK CERMINAN SEORANG PEMIMPIN

Akhlak yang baik serta keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab merupakan kunci utama dalam memilih pemimpin. Pemimpin dengan akhlak yang baik sudah pasti membawa imej yang baik mewakili kepimpinannya dan secara tidak langsung menjadi magnet menarik lebih ramai masyarakat ke arahnya. Malah yang lebih penting, orang bakal tertarik dengan akhlak yang terpuji melebihi kata-kata yang sekadar meninggi.

Jawapan yang diberi Sultan Salahuddin setelah ditanya dengan soalan lelaki tua berupa “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semua tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?” merupakan jawapan dari seorang pimpinan yang memberi gambaran ketulusan dan kebaikan akhlak beliau.

BELIAU PEMIMPIN LUAR BIASA

Setelah kita soroti kisah Sultan Salahuddin al-Ayyubi ini, kita dapati beberapa karakter dan peribadi yang patut ada pada seorang pemimpin dan patut diketahui oleh semua orang dalam memilih pimpinan.

1- Warak dalam beribadah dan tangkas dalam berjuang.
2- Alim dalam pelbagai bidang ilmu.
3- Merendah diri turun ke medan melihat masyarakat.
4- Bijak dan berhikmah dalam menyelesaikan persoalan.
5- Diri menjadi contoh teladan membawa akhlak Islam.

Ciri-ciri hebat Sultan Salahuddin ini menjadi rujukan sepanjang zaman dan sudah terpahat dalam lembaran sejarah sebagai seorang pemimpin yang berjaya menundukkan musuh yang selama ini dirasakan mustahil.

Semoga catatan sejarah sultan hebat ini mampu memberi kita gambaran tentang pemimpin sebenar yang mampu mengubah dunia. Yang jelas Sultan Salahuddin bukanlah sultan yang ‘biasa-biasa’ tetapi beliau adalah sultan yang luar biasa.

Rujukan:
1-Apabila Ulama dan Umara’ Bergandingan (Dr.Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan)

2-Majalah Solusi Isu 69- Ilmu Sedekah Paling Barakah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *