[PENGALAMAN ‘ELECTIVE POSTING’ SIRI 1]

cba68a2a-58d3-42a0-ab6b-4dc1ee8c23b2

Nama         : Awatif Naufal bin Ghazali

Pengajian : Tahun 1 Perubatan

Tarikh        : 1/8/17-14/8/17

Tempat     : Hospital Pasir Mas

Jabatan     : Forensik dan Kecemasan

 

Jam di tangan menunjukkan pukul 8 pagi. Aku dan rakan sekelasku, Arif dikehendaki untuk berjumpa dengan pengarah hospital pada pagi itu. Kami lengkap berpakaian formal seperti orang dewasa biarpun muka jambu bak kanak-kanak. Maklumlah, kami pelajar tahun pertama, masih freshie lagi. Sebagai permulaan elective posting, perkara pertama yang perlu kami lakukan adalah berjumpa dengan pengarah hospital tersebut, iaitu Dr. Sanusi. Sopan dan baik sekali orangnya. Beliau menerangkan tatacara dan perjalanan posting elektif kami. Tempoh masa yang diberikan kepada kami untuk melakukan posting elektif adalah selama dua minggu, bermula dari jam 8 pagi sehingga tengahari. Kami diberi kelonggaran tersebut kerana kami masih terlalu baru dalam dunia perubatan (baru sahaja selesai mengharungi tahun pertama kuliah perubatan). Kami tidak membantah malah gembira kerana pihak hospital memberi peluang kepada kami untuk melakukan posting elektif biarpun sebenarnya masih terlalu awal buat kami. Kami diingatkan agar tidak mengambil gambar, menyentuh dan melihat fail pesakit. Pengarah hospital mencadangkan agar kami ke wad Nilam, katanya itulah wad yang paling sibuk dan paling ramai pesakit.

Selepas melaporkan diri, tepat jam 9 pagi kami pergi ke wad yang telah ditetapkan. Setibanya kami di wad tersebut kami harus minta kebenaran dengan sister ataupun ketua jururawat bagi wad tersebut. Setelah memperkenalkan diri, kami dikehendaki untuk mengikut doktor yang bertugas pada pagi itu, iaitu Dr.Yusran yang cool dan Dr. Atiqah yang sangat peramah. Pada pagi itu sahaja terdapat hampir 20 orang pesakit dalam wad tersebut dan kami ingat bilangan itu sudah sangat banyak kerana belum sampai separuh hari lagi, tetapi sangkaan kami meleset sama sekali apabila Dr yang bertugas memberitahu bilangan itu hanyalah sedikit sahaja sekiranya nak dibandingkan dengan kebiasaan hari-hari lain, yang boleh mencecah sekitar 40 orang. Kami terdiam seketika.

images (3)

Seusai round di wad tersebut kami terus pergi ke bahagian Kecemasan (Emergency Department). Di sana kami berjumpa dengan Dr. Ili yang sempoi. Beliau mengajar kami teknik-teknik mengambil sejarah pesakit (history taking) kerana kebanyakan universiti di Mesir, pelajar-pelajar pra-klinikal masih belum didedahkan dengan cara-cara berhadapan/mengambil history pesakit. Pada hari kedua posting, kami berpeluang untuk menjalankan round pagi bersama Dr.Yusran. Sambil doktor round wad tersebut, beliau mengajarkan kami banyak perkara. Sebagai contoh, apabila pesakit datang dengan simptom demam yang melebihi 3 hari, pesakit berkemungkinan besar menghidapi denggi, lapto (kencing tikus) atau malaria. Kami juga sempat berjumpa dengan beberapa orang pesakit yang menghidapi ESRF (End Stage Renal Failure) atau kegagalan buah pinggang yang boleh dibahagikan kepada 5 tahap. Pesakit ESRF datang dengan 2 simptom utama, sama ada muntah dan pening kepala atau overload seperti kaki bengkak (edema). Kami juga diberi peluang untuk menekan kaki pesakit ESRF dengan izin pesakit dan Dr. Yusran, untuk mengetahui samada ianya pitting atau non-pitting edema. Doktor menjelaskan apabila bahagian kaki atau belikat pesakit ditekan selama 3 saat, kulit pesakit mengambil masa untuk kembali anjal seperti sediakala membuktikan bahawa ianya merupakan pitting edema. Selepas habisnya round di wad Nilam, kami pergi ke bahagian kecemasan. Kami dimaklumkan bahawa kebiasaannya ramai pesakit akan datang pada waktu petang dan malam. Kami kurang bernasib baik kerana tidak banyak kes pada waktu pagi tetapi di sana kami tetap dapat melihat serta belajar cara-cara mengambil darah serta mencuci luka.

Hari yang seterusnya, kami berpeluang mengikuti Dr. Atiqah menjalankan round di wad Nilam. Round bersama beliau sangat menarik dan menyeronokkan kerana beliau banyak mengajar kami dan memberi kami peluang untuk menyentuh pesakit. Sebagai contoh, kami berpeluang untuk palpate pesakit yang mempunyai saiz limpa yang besar (splenomegaly). Kami juga diberi peluang untuk melihat x-ray pesakit yang menghidapi hypertension myopathy dimana saiz jantungnya terlalu besar daripada biasa. Beliau juga memberi pinjam stetoskop beliau kepada kami untuk membezakan bunyi peparu yang sihat dan peparu yang mempunyai masalah seperti asma (bronchial asthma) dan pneumonia. Beliau menjelaskan bahawa peparu pesakit asma akan mengeluarkan bunyi ‘hee’ (wheezing) semasa menghembus nafas dan bagi pesakit pneumonia pula peparunya akan mengeluarkan bunyi ‘crap’ (crepitations) semasa menarik nafas dan tidak berbunyi semasa menghembus nafas. Kami juga berpeluang melihat cara-cara mengambil ABG (Arterial Blood Gases) dimana darah akan diambil daripada salur darah (artery) pesakit seperti di radial, brachial atau femoral. Kami juga berpeluang berjumpa dengan pesakit yang menghidapi kayap. Dr. Atiqah menjelaskan bahawa kayap (Herpes zoster) berasal daripada cacar air (Chicken pox) jangkitan daripada virus Varicella. Virus tersebut akan berada di dalam tulang belakang dan mula menjalar mengikut dermatome kulit apabila tahap imuniti pesakit mula menurun. Kami juga berpeluang berjumpa pesakit yang menghidap HIV. Dr. Atiqah memesan kepada kami untuk tidak menyebut perkataan HIV di hadapan pesakit, sebaliknya haruslah menyebut RVD (Retrovirus Disease) bagi menjaga sensitiviti pesakit.

download (5)

herpes-zoster-cac

Disebabkan kurangnya kes di bahagian kecemasan pada waktu pagi, kami bercadang untuk pergi pada waktu malam selepas maghrib dan memang betul, bahagian kecemasan sangat sibuk dengan pesakit pada malam hari. Pada malam itu, kami berpeluang mengambil vital signs daripada pesakit dan kami amat teruja apabila berpeluang melihat pesakit yang kemalangan dijahit dengan simple suture pada luka di bahagian mukanya. Sepanjang tempoh kami berada di hospital, kami mendapati banyak kes yang dilaporkan adalah melibatkan kemalangan. Kami juga diberi kesempatan untuk melihat mayat yang segar di bahagian forensik di rumah mayat. Mayat pertama yang kami lihat adalah mayat seorang lelaki dalam lingkungan 40-an yang mati tertembak dirinya sendiri secara tidak sengaja menembusi tekak langsung ke otak. Kami sempat melihat post mortem yang dilakukan oleh beberapa orang doktor dan seorang doktor pakar. Mereka membelah kepala mayat itu dan membahagikan tempurung kepala kepada 4 bahagian seolah-olah seperti membuka kelopak bunga, lalu mengeluarkan otak dan memisahkannya ke bahagian yang lebih kecil untuk mencari 12 biji peluru yang ditembak, tetapi mereka hanya menemukan 11 biji peluru sahaja. Selang beberapa hari kemudian, kami berkesempatan melihat 3 mayat warga asing yang mati akibat kemalangan.

download (4)

Pada hari terakhir kami di hospital, kami seperti biasa menuju ke wad Nilam dan mengikuti doktor menjalankan round di wad. Kami agak bertuah pada hari itu kerana kami berpeluang menyaksikan seorang pesakit lelaki tua yang agak agresif mungkin disebabkan tidak mampu menahan sakit yang teramat sangat. Pesakit itu mengadu sakit dada dan semakin bertambah sakit apabila berada dalam keadaan berbaring. Lalu pesakit tersebut hanya mampu duduk untuk melegakan sedikit kesakitannya. Apabila pesakit pergi ke tandas, pesakit itu rebah dan terpaksa dibawa ke bilik resusitasi. Keadaaan pesakit semakin parah dan mula pitam. Pesakit mengalami acute angina dan bagi mengenal pasti puncanya, chest lead ECG anteriorly dilakukan ke atas pesakit tetapi dengan keadaan pesakit yang tidak boleh berbaring, proses ini amat sukar untuk dilakukan. Keadaan ini memaksa beberapa orang staf dan dua orang doktor yang bertugas termasuk kami untuk memegang kaki dan tangan pesakit tersebut. Walaupun sudah tua dimamah usia, tenaga pesakit tersebut masih lagi kuat sehingga menyukarkan prosedur memasukkan tiub kencing ke dalam salur kencingnya, tetapi kami berjaya juga akhirnya. Kami juga berasa bangga dan gembira kerana kami berjaya mengesan kesalahan yang terdapat pada tafsiran keputusan chest lead ECG anteriorly dan chest lead ECG posteriorly, dan terus memaklumkan perkara tersebut kepada doktor yang bertugas. Siapa sangka pesakit tersebut adalah datuk kepada salah seorang pelajar yang pernah saya ajar dalam kelas tuisyen. Petang itu juga pesakit tersebut dihantar ke hospital di Kota Bharu.

Akhir kata, jika berpeluang untuk menjalani posting elektif di hospital, manfaatkanlah peluang tersebut sebaik mungkin untuk kita belajar dan menimba ilmu serta mengutip pengalaman dengan sebanyak mungkin. Ini kerana, melalui ilmu dan pengalaman inilah yang akan diguna pakai apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Ingatlah setinggi mana pun kedudukan kita di atas muka bumi ini, akhirnya akan masuk ke dalam tanah yang sama juga, jadi tiada guna jika kita sombong dan memandang hina terhadap orang lain terutamanya pesakit yang amat memerlukan sokongan secara fizikal dan mental daripada seorang insan yang dipandang tinggi oleh masyarakat dengan gelaran hikmatnya yang satu iaitu doktor. Oleh itu, marilah kita bersama-sama dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agar kita dapat menjadi seorang doktor muslim yang boleh memberi manfaat kepada pesakit dan masyarakat sekeliling.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *