[ UJIAN DAN PENGORBANAN ]

Sedih, gembira, dan tangisan itu adalah lumrah kehidupan. Terkadang terdetik di hati ini, kenapa sedih itu diciptakan? Mengapa dunia ini penuh dengan pelbagai dugaan sehingga sukar untuk mendapatkan kebahagiaan? Nafas yang dihembus terasa sukar, air mata mengalir dengan deras di pipi menjadi saksi kesedihan diri.

1

“Mengapa ibu bapaku meninggal? Mengapa keluargaku berpecah-belah? Mengapa aku gagal dalam peperiksaan? Mengapa aku sering dihina? Mengapa aku tidak kaya seperti kawan-kawanku? Mengapa kawanku sering menyakiti perasaanku? Mengapa cintaku ditolak? Mengapa aku ditimpa penyakit sebegini?” Mengapa dan mengapa…

“Apakah Tuhan membenci diriku? Bukankah Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?”

Astaghfirullah hal’azim

 

Wahai sahabat-sahabatku semua, Allah itu Maha Penyayang, bahkan tiada yang lebih menyayangi dan mencintaimu lebih daripada cinta-Nya kepadamu. Jangan biarkan bisikan-bisikan halus menggugat kasih Allah terhadap hambaNya. Jangan menyerah kalah!

“Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (az-Zumar: 53)

Ketahuilah wahai sahabatku yang dicintai, tiada ayat yang paling memberi harapan selain ayat ini. Ayat ini ditujukan kepada mereka yang melampaui batas. Pembunuh, perompak, perogol, penindas, penzina, ahli maksiat dan kalian sebutlah semua gelaran yang jahat dan hina, namun Allah memanggil mereka dengan panggilan ‘wahai hamba-Ku’. Panggilan yang sama digelar kepada nabi Muhammad ketika di Israk dan Mikraj oleh Allah.

Lumrah seorang manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Yakinlah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat hamba-Nya yang memohon dengan penuh penyesalan kecuali dosa yang melibatkan individu lain. Oleh itu ketahuilah wahai saudaraku yang mulia, ayat ini lebih dekat buat dirimu, jangan sesekali pernah berputus asa dengan rahmat Allah.

 

2

 

Allah berfirman:

“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, lagi Maha Pengampun.” (al-Mulk: 2)

Nah! Bukankah Allah sudah berfirman, bahawa Dia menjadikan kematian dan kehidupan ini sebagai ujian untuk kita berlumba siapa yang lebih baik amalannya. Jadi, tidak sepatutnya timbul persoalan ‘mengapa aku diuji?’ kerana itulah antara tujuan kita diciptakan Allah SWT.

“Tetapi ujian ini terlalu besar dan tersangat berat buatku.”

Tidak, bahkan kamu sedang memandang rendah kemampuan dirimu. Memperkecilkan ketahanan dan ketabahan jiwamu. Allah mengetahui tahap ketahanan dirimu. Dia telah berfirman:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”(al-Baqarah: 286)

Ya, engkau mampu lalui ujian ini dan kamu perlu yakin dengan dirimu.

Sahabat-sahabat yang disayangi, datangkan ujian kerana Allah rindu mendengar rintihan hamba-hambaNya dan agar kita sedar akan kelemahan diri. Di dalam hadis qudsi Allah berfirman:

“Allah berkata kepada malaikat-Nya, “Pergilah kamu kepada hamba-Ku, lalu kamu timpakan bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku suka mendengar rintihannya…”(HR Baihaqi & Tabrani)

Bahkan, ujian dan kesakitan itu ditimpakan kerana Allah mahu menyucikan diri kita dari dosa serta mendekatkan diri hamba dengan Penciptanya. Rasulullah bersabda:

“Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang yang beriman berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya.” (HR Muslim)

 

3

 

Mungkin kita keliru apakah yang dialami itu ujian/musibah atau bala/azab dari Allah. Formulanya mudah: kalau sesuatu musibah tu membuatkan kita lebih dekat dengan Allah, maka itu adalah ujian. Tapi, andai satu musibah tu membuatkan kita makin jauh dari Allah malah menyalahkan takdir, maka itu adalah bala/azab.

Wahai teman-teman perjuangan sekalian, jika kita memandang mereka yang kehidupannya mewah dan diberi kurnia melimpah-ruah, maka itu hanya akan membuatkan kita tertekan dan timbulnya hasad dengki. Akan tetapi jika kita lihat mereka yang dekat hubungannya dengan Allah, kita akan dapati mereka adalah orang yang sering diuji sehingga terkadang kita tidak sanggup untuk melihatnya. Maka persoalkanlah dalam diri kalian, “Mereka ini soleh dan solehah tetapi mengapa mereka diuji sebegitu rupa?”

Hatta kekasih Allah Nabi Muhammad SAW sendiri tidak terlepas dari ujian daripadaNya. Sekiranya kita selusuri sirah perjuangan Baginda, apalah sangat dugaan yang kita hadapi jika hendak dibandingkan dengan ujian yang dihadapi Rasulullah SAW. Nabi Muhammad banyak diuji Allah, tetapi baginda adalah manusia selalu mengukir senyuman.

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”(al-Baqarah: 214)

 

4

 

Bersempena Aidiladha ini, kita sering mendengar kisah Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail dimana Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih puteranya. Ujian yang diberikan kepada nabi Ibrahim terlalu hebat. Baginda dibakar pada usia remajanya, berdoa puluhan tahun agar dikurniakan zuriat, namun apabila isterinya melahirkan anak, diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan isteri dan anaknya di tengah-tengah tanah yang tandus dan gersang tiada penghuni, setelah berpisah sekian lama dengan anaknya dan apabila bertemu kembali anaknya, diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya yang dicintai. Kegilaan apakah ini? Adakah nabi Ibrahim mempersoalkan arahan Allah? Tidak! Tidak sedikitpun. Allah tidak kejam akan tetapi Allah mahu berikan kemuliaan dan pangkat yang tinggi di sisi-Nya kepada baginda nabi Ibrahim, dan maharnya tidak percuma.

Kita selusuri pula sejarah kemerdekaan, pengorbanan dan ujian para ulama dan pejuang kemerdekaan. Mereka diuji dan berkorban jiwa dan raga untuk agama dan bangsa. Tok Janggut sebagai contoh, seorang pejuang kemerdekaan di Kelantan yang melaungkan semangat jihad tetapi digelar oleh penjajah sebagai seorang penderhaka.

Sebelum itu, mari kita mendalami sebab ulama memfatwakan jihad ini. Pengisytiharan perang oleh British pada 5 November 1914 dan Rusia pada 2 November 1914 memaksa kerajaan Turki Uthmaniyah mengeluarkan fatwa yang dikenali sebagai Jihad i-Ekbar Fard –iAynon pada 11 November 1914. Fatwa tersebut ditandatangani oleh Sheikh al-Islam, Khayri Effendi. Fatwa itu mengisytiharkan jihad terhadap Britain, Perancis, Rusia dan sekutunya. Pengisytiharan jihad disiarkan oleh akhbar Tanin pada hari berikutnya  di bawah tajuk Jihad-i ekbar, Far-zi ‘. Ia menyeru umat Islam di seluruh dunia yang ditindas oleh kuasa-kuasa penjajah itu supaya bangkit untuk berjihad bersama kerajaan Turki Uthmaniyah dengan nyawa dan harta ( Farid Mat Zain 2009: 91 ). Sehubungan ini, Sheikh al-Islam memetik ayat al-Quran yang bermaksud:

“Pergilah kamu beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan Allah untuk membela umat Islam.”  (Surah at-Taubah: 41).

“Perangilah mereka nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memusnahkan hati orang yang tidak beriman.” (Surah al-Taubah: 14).

Tok Janggut merupakan ulama yang memahami seruan ini membuat keputusan untuk berjuang bagi membebaskan tanah air ini. Adapun sebab cukai hanyalah semata-mata alasan. Pertempuran terakhir Tok Janggut adalah setelah marahkan tentera Sikh dari pihak Inggeris yang membakar rumah penduduk kampung di Pasir Puteh, dalam pertempuran itu Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu di dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di hadapan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Apakah peranan kita sebagai penyambung legasi pejuang kemerdekaan ini? Sebelum menjadi pejuang agama, maka perlulah kita mengisi ilmu di dada dan beramal dengannya. Jika kita lihat, ketokohan pejuang kemerdekaan bukan sahaja di medan amal semata-mata, tetapi turut di medan ilmu.  Sebagai contoh:

  • Tok Janggut di Kelantan pernah berguru dengan beberapa orang ulama di Mekah, termasuk Sheikh Ahmad al-Fathani.
  • Mat Kilau di Pahang adalah murid kepada Mufti Haji Utsman, Mufti Kerajaan Pahang yang pertama. Haji Utsman pula adalah murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penyusun kitab Mathla’ul Badrain yang terkenal).
  • Haji Abdul Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Kitab-kitab yang beliau ajar ialah al-Ajrumiyah, Mutammiman, Tashil Nail al-Amani, Matan Umm al-Barahin, Faridah al-Faraid, ad-Durr ats-Tsamin, kitab Tahrir, Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis.

 

5

 

Perjuangan umat Islam masih belum selesai, umat ini sedang diratah dan dilanyak semahu-mahunya. Kita tidak bersatu dan berpecah-belah. Di Malaysia sendiri Islam masih belum dilaksanakan seluruhnya. Banyak lagi yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang masih belum kita dapat laksanakan. Tanah air kita sudah merdeka namun tidak sistem pemerintahan, perundangan, dan pemikiran pemerintah kita sendiri. Jiwa kita merdeka namun pemikiran kita masih sujud menyembah sistem ciptaan manusia sedangkan sistem yang diajarkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah kita abaikan. Kalam ulama’ kita anggap lekeh dan ketinggalan zaman sedangkan rujukan mereka adalah al-Quran dan as-Sunnah yang sumbernya dari pencipta kita sendiri. Islam disekat sedangkan Islam adalah penyelesaian semua masalah yang membarah pada masa kini.

Kesimpulannya, kehidupan ini adalah medan ujian. Kesusahan dan ujian itu adalah lumrah kehidupan dan di sana letaknya ruang perjuangan. Orang yang kuat mencipta sejarah dengan kepayahan ujian yang diterima manakala orang yang lemah hanya beralasan dan menyalahkan takdir. Saudaraku sekalian, syurga itu mahal harganya dan hanya ‘kesakitan’ yang sedikit di dunia ini sebagai maharnya. Dan jika lemah, jangan segan untuk menadah tangan berdoa kerana Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Murah hati. Allah malu bila ada hamba-Nya yang menadahkan tangan (memohon kepada-Nya) lalu dibiarkannya kosong dan kecewa.” (HR. Hakim)

 
Wallahu a’lam.

Al-faqir ilallah:

Anas bin Azmi.

 

6

 

Rujukan:
https://neilandsyud.wordpress.com/

https://www.facebook.com/UlamaBesarAlamMelayu/posts/896666060430887:0

https://sejarahtokoh.wordpress.com/tok-janggut/

http://inspirasiabadi89.blogspot.com.eg/2013/04/penglibatan-kerajaan-turki-uthmaniyah.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *