Siri Kedua

Seperti yang telah disebutkan dalam penerangan siri yang pertama, hukum asal bagi ikhtilat itu ialah haram, menurut Syeikh Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah. Walau bagaimanapun, Syeikh Abdul Karim Zaidan juga menyebut dalam kitabnya yang masyhur itu contoh-contoh keadaan serta hukum ikhtilat seperti di bawah:

Pertama : Harus kerana terpaksa (dhorurah)

Kedua     : Harus kerana keperluan (hajat)

Contoh-contoh bagi kedua-dua keadaan ini boleh dirujuk pada poster siri pertama.

Oleh hal yang demikan, percampuran di antara lelaki dan perempuan terbahagi kepada dua jenis, iaitu percampuran yang dibenarkan di dalam Islam dan percampuran yang dilarang. Maka, ditampilkan dalam penerangan siri kedua ini mengenai jenis-jenis ikhtilat sama ada yang dibenarkan Islam atau dilarang oleh islam serta garis panduan dalam percampuran tersebut.

PERCAMPURAN YANG DIBENARKAN OLEH ISLAM

Percampuran di antara dua jantina di dalam satu tempat berlandaskan beberapa kaedah yang ditentukan, atau tidak melanggar mana-mana peraturan, ia dikatakan sebagai percampuran yang dibenarkan di dalam Islam. Peraturan-peraturan tersebut ialah:-

1) Tempat-tempat Tertentu Sahaja

  • Tempat Beribadah

Percampuran dibenarkan ketika mengerjakan solat berjemaah di masjid, mengerjakan haji dan sebagainya. Bersolat di masjid, tempat lelaki dan perempuan hendaklah dipisahkan sepertimana yang dapat dilihat di masjid-masjid.

  • Tempat Menuntut Ilmu

Percampuran juga dibenarkan di dalam majlis ilmu seperti pengajian tajwid, kuliah di universiti dan sebagainya, masih lagi perlu dipisahkan tempat di antara keduanya.

  • Medan Peperangan

Ketika peperangan, perempuan dibenarkan untuk turut serta selagi mana tidak bercampur dalam satu kedudukan bersama lelaki. Contohnya seperti sekumpulan perempuan yang ditugaskan dalam peranan-peranan tertentu yang bersesuaian dengan mereka.

2) Bilangan Yang Ramai

Bilangan yang ramai sehingga tidak dikatakan sebagai khalwat. Contohnya bilangan perempuan melebihi bilangan lelaki, seperti seorang lelaki bersama dua orang perempuan. Tidak dibolehkan bagi dua orang lelaki bersama dua orang perempuan.

3) Keperluan/Terdesak

Percampuran tersebut merupakan satu keperluan, bukanlah sengaja keluar dengan tujuan makan malam, menonton wayang dan sebagainya. Contoh percampuran dalam keadaan yang diperlukan ialah dengan tujuan perubatan, mengajar dan sebagainya.

4) Tidak Menimbulkan Fitnah

Percampuran yang tidak menimbulkan sebarang fitnah, contohnya seperti percampuran di dalam majlis tarian, melancong dan sebagainya.

5) Menjaga Adab

Adab-adab yang perlu dijaga di dalam percampuran tersebut ialah:-

  • Menundukkan Pandangan

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka” (an-Nur : 30 – 31)

  • Menutup Aurat

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “ … dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (an-Nur : 31)

  • Pergerakan Yang Tidak Menggoda

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “ … dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.” (an-Nur : 31)

  • Bersuara Tegas Di Dalam Pertuturan

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (al-Ahzab : 32)

PERCAMPURAN YANG TIDAK DIBENARKAN OLEH ISLAM

Percampuran yang tidak dibenarkan oleh Islam ialah apa sahaja percampuran yang MELANGGAR atau MENGURANGI mana-mana peraturan serta adab yang telah digariskan tadi. Sekiranya diperhatikan dengan teliti, semua peraturan tersebut MAMPU dilakukan oleh semua manusia, cuma masih ada lagi yang berdalih bahawa Islam mengongkong umatnya, sedangkan dia sendiri tidak tahu bahaya maksiat dan keruntuhan akhlak yang bakal menimpa dirinya.

 PERKARA YANG DILARANG DALAM IKHTILAT

1-      Pandangan yang berlebihan

    • Pandangan yang berlebihan adalah ditegah dalam Islam,
    • Katakanlah kepada laki-laki yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan….. dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan” (Surah An-Nur : 30-31)

2-      Bersentuhan

    • Sentuhan juga adalah perkara yang dilarang

Daripada Ma’qil B. Yasar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لأن يطعن في رأس رجل بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له

Maksudnya: “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 20/211-212, no. 486 & 487)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

 
Maksudnya: “Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.

(Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 13/125, no. 4802)

    • Sentuhan yang dimaksudkan di sini, termasuklah sentuhan kulit dan kulit atau berlapik.

3-      Bercakap lembut

    • Suara/percakapan juga adalah elemen terpenting yang perlu dijaga, percakapan yang tidak perlu, berbunga dan bermanja perlu dielakkan.
    • Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “… janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (al-Ahzab : 32).
    • Perbualan yang ringkas, padat dan mencapai maksud adalah lebih baik daripada perbualan yang lain.

4-      Khalwat (berdua-duaan)

    • DILARANG bagi seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan berdua-duaan, melainkan bersama mahram.
    • Tempat sunyi tidak menjadi syarat kepada khalwat.
    • Mahram yang dimaksudkan disini adalah ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang memahami hukum islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan Islam/maksiat.
    • Dari Ibnu Abbas r.anhu, dari Nabi SAW:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ وَلاَ تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلاَ وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا وَخَرَجَتْ امْرَأَتِي حَاجَّةً قَالَ اذْهَبْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

Janganlah seorang lelaki bersendirian bersama wanita dan janganlah seorang wanita melakukan perjalanan jauh kecuali bersama mahramnya. Maka seorang sahabat berkata,”Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin ikut serta dalam pasukan ini atau itu sementara isteriku ingin berhaji”. Maka Rasulullah menjawab,”Pergilah kemudian berhajilah bersama isterimu”. (Riwayat Bukhari: 2784)

5-      Tidak menutup aurat

    • Aurat wanita kepada lelaki yang bukan mahram adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan.
    • Aurat lelaki kepada wanita yang bukan mahram adalah pusat hingga lutut.
    • Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “ … dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (an-Nur : 31).

 

KESIMPULAN

Maka, berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas, dapat kami simpulkan bahawa syarat-syarat untuk ikhtilat ialah seperti berikut:

1-      Niat:

    • Ikhlas kerana Allah.

2-      Matlamat:

    • Perkara yang memaksa dan keperluan sahaja.

3-      Tidak bersentuhan:

    • Tidak berlaku sentuhan samada kulit dan kulit atau berlapik.

4-      Menutup & menjaga aurat:

    • Perlu sentiasa terjaga.

5-      Menjaga adab bercakap:

    • Ringkas, pada dan difahami, tidak meleret dan berlebihan.

6-      Mengasingkan tempat:

    • Diasingkan dengan pengasingan yang jelas, sama ada kiri dan kanan, depan dan belakang.

7-      Dibawah kawalan orang yang dipercayai:

  • Bawah pantauan orang yang dipercayai dan memahami hukum Islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan islam/maksiat.
  • Keadaan (Wakie’) mahasiswa Malaysia di Mesir menjadikan pasangan berkahwin (Mutazauwij) adalah orang yang dipercayai.

 

Sumber:

Kitab al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah, Syeikh Abdul Karim Zaidan.

Kutaib Wanita Musafir & Ikhtilat, Ustaz Syaiful Azlan bin Che Daud.

Kertas Kerja Pengisian Ikhtilat PERUBATAN, 2016.

 

logo_jaksi_light