gambar terawih

Sememangnya pada setiap tahun kita akan menantikan kehadiran bulan Ramadan, kerana di dalamnya terkandung begitu banyak kemuliaan, faedah dan kelebihan bagi mereka yang menghayati Ramadan.

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN RAMADAN

Sabda Nabi saw: “Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SOLAT TARAWIH

Antara ibadah yang disyariatkan secara khusus pada bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih. Solat ini sunat didirikan secara berjemaah serta sah jika didirikan secara individu. Solat ini dinamakan juga dengan Qiyam Ramadan (solat menghidupkan Ramadan). Waktunya adalah Antara Solat Isyak dan Solat Subuh.

Dari Abu Hurairah r.anhu, dari Nabi saw:

“Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah akan diampunkan oleh Allah segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

WANITA LEBIH AFDAL BERTARAWIH DI RUMAH

Walaubagaimanapun, seringkali juga menjadi persoalan tentang tarawih bagi wanita, yang manakah yang lebih baik, adakah solat di rumah atau solat di masjid?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid r.anhu datang bertemu Nabi SAW dan berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku” (Riwayat Ahmad)

Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.

Hadis ini menunjukkan bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan semakin jauh dari percampuran dengan lelaki, maka tempat tersebut adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat dan jika menurut hadis ini maka tempat yang paling afdal ialah di bilik wanita itu sendiri.

TIADA HALANGAN BAGI WANITA KE MASJID

Dalam sebuah hadis yang lain:
Rasulullah SAW bersabda daripada Ibnu Umar RA:

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita pergi ke masjid-Nya” (Muttafaq Alaih)

Dan hadis ini terdapat sambungannya yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

“…dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”

Menurut hadis ini, harus difahami bahawa tiada larangan dalam Islam bagi wanita untuk ke masjid walaupun tempat yang lebih afdal bagi wanita adalah di rumah.

GARIS PANDUAN ISLAM JIKA WANITA KE MASJID

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipenuhi oleh para wanita untuk menghadiri solat tarawih di masjid, terutamanya untuk suasana (waqie) di Mesir.

Antaranya ialah:

1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias dan memelihara pandangan

Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)

2. Tidak memakai wangi-wangian

Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَصَابَتْ بَخُورًا فَلاَ تَشْهَدْ مَعَنَا الْعِشَاءَ الآخِرَةَ

“Mana-mana sahaja wanita yang memakai harum-haruman, maka janganlah dia menghadiri solat Isya’ bersama kami.” (HR. Muslim)

Zainab r.anha mengatakan bahwa Rasulullah shallalahu ‘alaihi wa sallam mengatakan pada para wanita,
إِذَا شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْمَسْجِدَ فَلاَ تَمَسَّ طِيبًا
“Jika salah seorang di antara kalian ingin mendatangi masjid, maka janganlah memakai harum-haruman.” (HR. Muslim)

“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

3. Mendapat keizinan mahram atau suami dan hendaklah suami dan mahram tidak menghalangnya.

“Jika isteri kalian meminta izin pada kalian untuk ke masjid, maka izinkanlah mereka.” (HR. Muslim).

Imam An Nawawi membawakan hadits ini dalam Bab “Keluarnya Wanita Ke Masjid, Jika Tidak Menimbulkan Fitnah Dan Selama Tidak Menggunakan Harum-Haruman.”

4. Tidak berlaku percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan wanita ketika masuk dan keluar masjid

Ummu Salamah RA menceritakan: “Para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut.” (Riwayat Bukhari).

5. Terjaga keselamatan dan segera pulang ke rumah

Firman Allah swt dalam al-Baqarah ayat 195:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kam sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan; dan perbaikilah perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Umum mengetahui tentang keadaan di Mesir yang menjadi lebih bahaya pada sebelah malam, jadi adalah lebih baik jika para wanita segera pulang ke rumah setelah selesai menunaikan urusan solat tarawih di masjid, tanpa singgah ke mana-mana tempat lain.

MEMENUHI SYARAT

Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.

Dalam situasi tertentu, adalah digalakkan untuk wanita itu ke masjid sekiranya solat di masjid itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding apabila seseorang itu solat bersendirian di rumah. Selain itu, apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diperoleh jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama.

Di samping itu, JAKSI sangat menggalakkan untuk para wanita menggunakan perkhidmatan musyrif yang disediakan agar keselamatan para wanita lebih terjamin dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Firman Allah swt:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa kelebihan) atas orang-orang wanita.” (Surah an-Nisa: 34)

KESIMPULANNYA

Tiada halangan untuk wanita bertarawih di masjid, selagi mana mereka memenuhi syarat-syarat yang disebutkan di atas, namun rumah merupakan tempat yang lebih afdal bagi mereka. Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran yang cukup besar.

Demikianlah penjelasan kami mengenai solat tarawih bagi wanita. Semoga ilmu ini memberi manfaat kepada kita semua.

Sumber:

Kitab Fiqh Manhaji, Syeikh Mustafa Bugho, Pustaka Salam Sdn Bhd, 2005

Artikel “Tarawih untuk wanita: di rumah atau di masjid?” Ustazah Nur Fatin Halil, 2017

Artikel “Shalat Tarawih bagi Wanita Lebih Baik di Masjid Ataukah Di Rumah?”, Muhammad Abdullah Tuasikal, 2009.

 

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Musyrif,
Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI),
PERUBATAN Cawangan Tanta 2017/2018

logo jaksi untuk hard copy