Maksud Pergaulan (al-Ikhtilat)

Pergaulan mengikut pertuturan melayu merujuk perihal bergaul atau bercampur. Dalam hubungan sesama manusia ianya mencakupi aktiviti sosial seperti perkenalan, berbaik-baik dan bersahabat (Kamus Dewan: 357). Dalam bahasa Arab, perkataan pergaulan sinonim dengan ikhtilat (Dr. Ibrahim, Mu`jam al-Wasit: 1/250).

Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam (Awdah al-Hijab: 3/52) mentakrifkan ikhtilat sebagai;

هو إجتماع الرجل بالامرأة ليست بمحرم له اجتماعا يؤدى إلى ريبة, أو اجتماع الرجل بالنساء غير المحارم فى مكان واحد يمكنهم فيه الاتصال فيما بينهم بالنظرة أو الكلام أو البدن أو من غير حائل أو مانع يدفع الريبة والفساد.

Maksudnya: ”Ialah perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram baginya yang mana perhimpunan tersebut membawa prasangka, atau perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat yang memungkinkan interaksi di kalangan mereka dengan pandang memandang atau isyarat atau perkataan atau jasad tanpa dinding atau tanpa penghalang yang mampu menolak prasangka dan kerosakan.”

Secara mudahnya, ikhtilat yang disebut di dalam artikel ini adalah merujuk kepada pergaulan bebas yang melanggar adab dan ketetapan syarak.

Hukum Asal Pergaulan antara Lelaki dan Perempuan.

Hukum asal pergaulan diantara lelaki dan perempuan adalah HARAM (Abd al-Karim az-Zaidan, al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah: 3/422).

Ikhtilat adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah dan termasuk perkara yang sangat berbahaya yang Allah SWT telah memperingatkan kaum muslimin daripadanya, kerana ikhtilat antara dua jenis –lelaki dan wanita– merupakan sebab yang terbesar dan yang paling mudah untuk membawa kepada perbuatan zina.

Sebagaimana Allah berfirman:
“Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji, dan merupakan jalan yang buruk.” (Al-Israa’: 32).

Berkata Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, “Allah melarang hambaNya berbuat zina dan mendekatinya serta melakukan faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepada zina.”

Dan yang paling berbahaya dari ikhtilat adalah khalwat yakni berdua-duaan lelaki dan wanita di tempat yang sepi.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya) melainkan syaitan yang ketiganya.” (HR.Ahmad, Tirmidzi dan Hakim, dan Hakim mensahihkannya).

Antara dalil pengharaman ikhtilat ialah:

Hukum pergaulan antara lelaki dan wanita juga dapat dipetik daripada larangan Rasulullah s.a.w terhadap perbuatan berjalan di jalanan secara beriringan. Sabda Rasulullah s.a.w:

أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجال مع النساء في الطريق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للنساء ” استأخرن فإنه ليس لكن أن تحققن ( أي ليس لكن أن تسرن وسطها ) الطريق عليكن بحافات الطريق

Maksudnya: ”Bahawa sesungguhnya ia mendengar daripada Rasulullah s.a.w bersabda sedang ia keluar dari masjid. Lalu bergaul lelaki dan wanita di jalanan, maka sabda Rasulullah s.a.w bersabda kepada golongan wanita: kemudiankanlah (jarak kedudukan) kamu. Sesungguhnya bukanlah untuk kamu (wanita) di tengah-tengah jalan, bagi kamu ialah di bahagian bahu-bahu jalan.” (Hasan, Riwayat Abu Daud).

Perintah Rasulullah s.a.w kepada golongan wanita supaya memilih bahu-bahu dan tepi jalan dan jangan berjalan di bahagian tengah jalan supaya tidak bercampur dengan kaum lelaki adalah merupakan isyarat haramnya percampuran lelaki dengan perempuan ketika tiada hajat dan keperluan.

“Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan wanita itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” (Surah Yusuf: 23)

Dan sisi pendalilannya: Bahawa tatkala terjadi ikhtilat antara isteri penguasa Mesir dan Nabi Yusuf AS, kemudian wanita tersebut menggoda Nabi Yusuf untuk melakukan maksiat sehingga timbul juga sedikit keinginan dalam diri Nabi Yusuf AS akan tetapi Allah menyelamatkannya dengan rahmatNya maka Dia menjaganya dari maksiat tersebut, dan itu pada firmanNya:

“Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” (Surah Yusuf: 24)

Demikianlah apabila terjadinya percampuran lelaki dan wanita asing akan menimbulkan keinginan antara satu dengan yang lain dan akhirnya akan menatijahkan langkah-langkah yang menuju ke arah zina.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur: 30)

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram); dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur: 31)

Sesungguhnya Allah memerintah orang-orang beriman lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan dan perintahNya itu satu kewajiban, kemudian Dia menerangkan bahawa ini lebih bersih dan lebih suci, dan syariat tidak memaafkan kecuali pandangan tanpa sengaja.

Dari Buraidah, dia berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada Ali radhiyallahu ‘anhu:

يَا عَلِيّ ُ! لاَتُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ, فَإِنَّمَا لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الأَخِيْرَةُ

“Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti pandangan (pertama yang tidak sengaja) dengan pandangan (berikutnya), kerana bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak boleh bagimu pandangan yang terakhir (pandangan yang kedua).”

HR Abu Dawud no. 2149 (Kitabun Nikah), At-Tirmidzi no 2777 (Kitabul Adab), dan berkata At-Tirmidzi, Hasan Gharib.

Tidaklah Allah memerintah dengan menundukkan pandangan melainkan kerana pandangan kepada apa yang haram memandangnya adalah zina. Zina di sini bukanlah bermaksud akan dijatuhkan hukuman zina sebagaimana dalam ketetapan hokum hudud, tetapi ingin digambarkan betapa besarnya dosa memandang kepada yang haram.

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallalahualaihi wasallam, telah bersabda ia: “Ditulis ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti dia akan lakukannya tidak mustahil, kedua biji mata zinanya melihat (pada yang haram, atau asyik dengan kejelitaan dan kekacakan seseorang) kedua telinga zinanya ialah mendengar (suara yang mengasyikkan dan penuh dengan syahwat), lidah zinanya bercakap (berkata-kata dengan kata-kata yang mengghairahkan), tangan zinanya sentuh, kaki zinanya berjalan (ke tempat yang membawa kepada syahwat), hati pula memasang keinginan dan cita-cita, dan kemaluanlah yang mengiyakan atau menidakkan.” (Sahih Muslim)

Oleh kerana itu Islam menyekat semua ruang dan jalan kearah penzinaan, kerana ia bermula dengan lihat, kemudian asyik dengan kata-kata manis, kemudian bercakap dengan suara manja, dan akhirnya akan membawa kepada berpegang-pegangan sehingga terjadinya penzinaan.

Ringkasnya, meskipun tidak terdapat nas yang jelas mengenainya, ini tidak bermakna hukumnya di abaikan oleh Syarak. Hal ini juga memberi ingatan kaedah al-Asl fi asyya` mubah (asal kepada sesuatu adalah harus) tidak boleh digunakan di dalam masalah ini kerana perkaitan dalil yang dinyatakan di atas dijadikan hujah menunjukan kepada pengharaman ikhtilat. Kaedah ini hanya boleh digunakan untuk perkara-perkara baru yang tiada dalil dari syarak sama ada secara terus atau secara perkaitan.

logo jaksi untuk hard copy

“Haq Tertegak, Biah Terpelihara”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial Islam,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2017/2018.

 

Sumber:

Kertas Kerja Seminar Aurat “PENJELASAN HUKUM AL-IKHTILAT LELAKI DAN PEREMPUAN KONTEMPORARI”, Ust. Mohd Azhar bin Abdullah, Jabatan Dakwah Wal Qiadah
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), 2010.

Artikel “STUDY GROUP: KEHENDAK ISLAM VS KEHENDAK NAFSU” , Ustaz Jamiluddin bin Murat, PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT), 2015.

Kertas Kerja Pengisian Ikhtilat Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) PERUBATAN 2016.