[ARTIKEL : ERTI KEMERDEKAAN]

“Dari robohan Kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka”—Dr.Burhanuddin Al-Helmi 31 Ogos 1957
Hujan turun lebat menandakan tanah ini akan subur. Lebih subur membangun tanpa penjajah.

Majlis pengumuman terpaksa ditangguhkan dari pukul lapan ke pukul sembilan. Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Kemudian, teks Pemasyhuran Kemerdekaan dibaca oleh Tunku Abdul Rahman lalu disambut dengan laungan,

‘MERDEKA’
‘MERDEKA’
‘MERDEKA’
‘MERDEKA’
‘MERDEKA’
‘MERDEKA’
‘MERDEKA’

Lebih 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu menjadi saksi laungan kemerdekaan ini. Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas Persekutuan Tanah Melayu.
Tanah Melayu sudah merdeka!Jalur_Gemilang2

31 0gos 2015
Banggg!!
Pintu rumah ditolak kasar. Amira yang terlelap di ruang tamu terus bingkas bangun. ‘Astaghfirullahalazim… terkejut kakak.. kamu ni Adrian, tak boleh ke buka pintu tu baik-baik?’
Adrian terus meluru ke kakaknya.

‘Aku tak kira kak, bagi aku duit, aku nak beli juga benda tu, aku tak boleh hidup tanpa benda tu’ ujar Adrian sambil terketar-ketar. ‘Kau ni tak habis-habis dengan dadah kau tu. Sudahlah emak baru sahaja meninggal, ayah pula lumpuh. Kau tahu kan semua tu. Kau yang sepatutnya ambil alih tugas ayah, cari nafkah untuk keluarga. Ni tak, pagi petang siang malam minta duit nak beli dadah je kerjanya. Benda haram tu!’ marah Amira.

Bebelan kakaknya tidak dihiraukan. Adrian tersenyum melihat pergelangan tangan kakaknya. Sekarang dia tahu cara dapatkan duit. Pergelangan tangan kecil kakaknya direntap.

‘Adrian! Tu gelang emas pemberian arwah mak. Jangan ambil! Aku boleh bagi kau duit asalkan jangan ambil gelang tu’ ujar Amira. Namun Adrian terus keluar membawa gelang tersebut untuk digadai. Dia tahu, duit yang akan diperolehinya nanti mampu membiayai ‘makanan wajib’nya selama berbulan-bulan.
——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

Ramai yang tahu apa itu kemerdekaan secara literal melalui kamus dewan. Kemerdekaan yang mana bermaksud bebas dari penjajah. Namun tak ramai yang faham dan hadam apa itu kemerdekaan dari sudut perspektif Islam, yang mana merupakan ruang lingkup kemerdekaan manusia yang sebenar. Selaku seorang yang beragama Islam, kita haruslah memiliki jiwa yang merdeka. Merdeka dari segi zahir dan juga batin. Secara zahirnya, kita sudah merdeka seusai sahaja Tunku Abdul Rahman melaungkan ungkapan keramat ‘MERDEKA’ sebanyak 7 kali. Kita sudah bebas kesana kemari dan beribadat di mana-mana sahaja tanpa ada sekatan.

Namun, bagi sebahagian rakyat Malaysia yang masih lagi dibelenggu dengan kesempitan hidup, ketagihan, kemiskinan, pengangguran, dan sebagainya, apalah erti kemerdekaan bagi mereka, kerana mereka masih lagi ‘belum merdeka’ dari masalah yang ‘menjajah’ mereka.
jalur gemilang
Jadi, apakah peranan kita sebagai seorang rakyat Malaysia yang menginginkan semua orang merasai nikmat bebas dengan sebenar-benar kemerdekaan? Ayuh bantulah mereka. Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia pernah berkata:

“Hari Kemerdekaan adalah besar maknanya bagi semua rakyat mengukuhkan tekad dan memperbaharui azam berusaha dengan lebih giat membina masyarakat adil dan makmur. Saya ingin saudara-saudara memandang ke dalam secara retrospektif dan bertanya pada diri sendiri apakah satu sumbangan bererti yang telah kita berikan untuk masyarakat dan negara.”

Islam juga bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
“Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Bebaskanlah diri dan pemikiran daripada kemusyrikan kepada Allah SWT dan sifat-sifat jahiliyah seperti terlibat dengan gejala rokok, dadah, pornografi dan sebagainya. Oleh itu, seorang Muslim yang merdeka adalah seorang Muslim yang bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah SWT, melakukan yang baik, dan menjauhi yang buruk.

Merdekakanlah batin kita daripada rasa iri hati melihat orang lain senang, riya’ dengan diri sendiri dan rasa malas menuntut ilmu, juga dari pemikiran sempit yang membawa kepada kebinasaan diri. Hargailah titik peluh nenek moyang kita bersusah payah berperang serta berunding dengan penjajah agar kita merdeka. Jom sama-sama kita merdekakan diri kita baik dari segi zahirnya mahupun batin.
“Kemerdekaan sesuatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.”
-Buya Hamka-

Penulis:
Wan Nurbasyirah binti Wan Roslan Timbalan
Biro Pembangunan Insan PCT 2016/2017
Tahun 2 kuliah pergigian
Universiti Tanta

Pautan lain:

| Home | Universiti | Education Malaysia | About PCT | Contact Us | Carta Organisasi PCT |

Perkhidmatan Lain:

| Pejabat PCT | E-Aduan | E-Kaunseling | TKS | Jadual Mushrif | Peminjaman Aset | Carta Alir Posting Elektif | |Panduan Melanjutkan Pelajaran Ke Timur Tengah|

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *