DAKWAH  adalah usaha membawa manusia kepada agama Allah. Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 104, mafhumnya, “Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru  ( berdakwah ) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya.”

Dakwah meliputi proses menyampai, mengajak, atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu. Kegiatan dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Islam tidak mengehadkan para pendakwah menggunakan medium tertentu dalam proses dakwah, malah mereka digalakkkan menggunakan medium terbaik mengikut kesesuaian zaman dan keberkesanan dakwah kepada sasarannya. Galakkan berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW, “sampaikan daripada Aku walau satu ayat” (riwayat al-Bukhari)

Menyelusuri sejarah mengenai bagaimana dakwah Islam mampu tersebar dan disampaikan kepada umat manusia pada zaman Nabi Musa A.S, kita akan dapati bahawa baginda menggunakan cara dan pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa pada ketika itu. Pada zaman Nabi Musa A.S, baginda dianugerahkan oleh Allah dengan mukjizat ‘tongkat sakti’ bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh baginda pada zaman tersebut. Ini disebabakan kepakaran dalam bidang sihir merupakan antara ciri-ciri kekuatan yang menjadi pelindung kepada kezaliman yang dilakukan oleh penguasa Mesir atau Fir’aun pada masa tersebut.

Pada masa kini, dakwah Islamiah memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada pada era yang dikenali sebagai ‘masyarakat terbuka’. Arus globalisasi dan revolusi dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan masyarakat bersifat terbuka satu realiti. Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kita perlu menggunakan seluruh saluran dan ruang untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar seterusnya membangunkan masyarakat berasaskan panduan dan pedoman cahaya Al-Quran dan al-Hikmah.

dakwah-adalah-cinta

Kita pernah dikejutkan dengan penemuan surah-surah dan hadis- hadis palsu yang dimasukkan ke dalam internet. Golongan orientalis tidak pernah berdiam diri dalam usaha mereka untuk menghancurkan Islam. Apa yang lebih menyedihkan, sekeping video Cina dalam bentuk CD ditulis di atasnya perkataan MUHAMMAD RASULULAH. Cabaran yang ditempuhi agak hebat juga. Antara lain, terdapat banyak laman web yang menampilkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya disebarkan. Hal-hal yang memalukan tidak lagi menjadi perkara yang dapat disembunyikan. Sedangkan, Islam yang indah mengajar kita supaya bersifat malu dan berakhlak mulia.

Selain itu,pemahaman masyarakat terhadap aspek dakwah. Pada umumnya, lebih diertikan sebagai aktiviti yang bersifat penyampaian secara lisan semata-mata. Dari satu sudut, kegiatan ceramah yang banyak diadakan kini dalam masyarakat, sama ada di surau, masjid, atau di mana sahaja, mempunyai kekuatan tersendiri. Ini kerana,ia dapat mewujudkan hubungan secara langsung antara pendakwah dengan sasaran dakwah. Dari satu sudut yang lain, terdapat kelemahan yang mana program ceramah yang diadakan menjemukan atau tidak menepati sasaran khalayaknya kerana terdapat perbezaan daya pemikiran para pendengar atau kelemahan dari diri para pendakwah itu sendiri.

Cabaran seterusnya,cabaran dari sudut keilmuan. Dakwah pada era kini tidak lagi bersifat biasa, sementara, dan segera tetapi memerlukan kekuatan keilmuan. Dengan adanya keilmuan dakwah islamiyah, tentunya aspek-aspek yang berkaitan dengan strategi pelaksanaan dakwah dapat dilaksanakan berdasarkan teori dakwah berdasarkan teori yang telah diperkatakan oleh para ulama atau para cendikiawan yang terdahulu.

Seterusnya, kita lihat kepada realiti pesakit-pesakit di Malaysia,tidak kira pesakit yang terlantar di hospital atau rumah.Percayakah anda bahawa ramai pesakit yang beragama Islam terutamanya meninggalkan solat ketika sakit?. Antara faktor, tidak tahu bertayammum, tiada pakaian yang sesuai yang boleh dipakai untuk solat, tiada insan yang dapat membantu mengambil wudhu’, dan ada yang mengaku tidak mampu bersuci. Memandangkan solat adalah kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan oleh setiap muslim yang mukhallaf dalam apa jua keadaan termasuk sakit, maka peratusan mereka yang meninggalkan solat dikira besar.

Oleh sebab itu, pengamal perubatan mengambil langkah bagi memperbaiki keadaan ini, dengan menggariskan satu objektif iaitu mewujudkan ‘Hospital Mesra Ibadah’(HMI). Ia adalah satu konsep dimana hospital mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan dan memberikan fokus kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan nilai para pekerjanya. Konsep ini telah dilaksanakan di beberapa buah hospital tidak kira hospital kerajaan mahupun swasta.

 

Aktiviti perlaksanaan HMI ini terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya aktiviti dalam pengurusan dan pentadbiran yang merangkumi hal ehwal agama hospital, rondaan ibadah kepada pesakit di hospital dan memberi pendekatan Islam dalam projek-projek seperti ‘Penyusuan ibu’, ‘Nafas Baru Tanpa Rokok’ dan sebagainya. Selain itu, aktiviti yang melibatkan suasana dan infrastruktur, seperti menyediakan tempat wuduk dan solat yang sesuai bagi staf, pesakit dan pelawat, kemudahan dan panduan tayammum, sistem siaraya menyiarkan azan mengikut waktu solat, bacaan Al-Quran dan hiburan yang sesuai. Antara yang lain, mewujudkan suasana silaturrahim antara kakitangan hospital dengan pesakit, pekerja- pekerja hospital yang sudi memebantu pesakit menunaikan ibadah, pakaian khas untuk pesakit memelihara aurat dan boleh digunakan untuk menunaikan ibadah.

 

Tidak dapat tidak, perlaksanaan HMI benar-benar memerlukan kefahaman dan kerjasama pekerja-pekerja di hospital. Nilai yang ingin diterapkan disini ialah nilai ubudiah; nilai yang mendekatkan manusia kepada Penciptnya. Kursus berskala, bengkel dan seinar perlu sentiasa diadakan. Pihak pengurusan hospital juga menyediakan pegawai –pegawai agama untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pesakit. Mereka akan menziarahi pesakit secara rutin bagi membantu pesakit menunaikan ibadah.

muslim5
Tuntasnya, dapat kita lihat realiti dakwah pada masa kini sudah jauh berbeza berbanding masa lampau. Kita dapat simpulkan bahawa sesuatu didikan itu mengikut perubahan masa dan keadaan. Oleh sebab itu, sebagai seorang pendakwah yang prihatin, hendaklah menggunakan ruang dan kepakaran dalam bidang masing –masing bagi memainkan peranan memikul tanggungjawab dakwah. Ruang dan kepakaran itu haruslah dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat dengan nilai murni yang universal.

 

Artikel disediakan oleh:

Mentor Council,

Biro Pembangunan Insan,

PERUBATAN Cawangan Tanta 2016/ 2017.

 

 

” Bridging the Community ”

Biro Penerbitan dan Penerangan,

PERUBATAN Cawangan Tanta 2016/ 2017.