“ Adakah kita hamba Dia atau hamba peperiksaan ? “

Tangannya begitu ligat memangkah tarikh pada helaian kalendar, sambil matanya terarah fokus pada jarum jam dinding biliknya, mengharapkan ia berhenti seketika supaya masih ada kesempatan untuk membuat persediaan terbaik. Namun hakikatnya 24 jam yg dikurniakan Tuhan bukanlah percuma. Seharusnya diisi dengan perkara yg mampu mendatangkan manfaat terutamanya apabila berada dalam fatrah imtihan.
Apabila peperiksaan semakin hampir, ramai dalam kalangan kita sanggup menghambakan diri sendiri kepada peperiksaan sehingga mengabaikan amanah kepada Tuhan. Buktinya apabila kita tidak sanggup merugikan masa walaupun sesaat, untuk menghabiskan saki-baki bacaan tetapi  berada 5 minit di tikar sejadah, bagaikan sudah satu jam lamanya. Berada dalam fatrah imtihan pada musim panas sebegini sangat menguji kekuatan mental dan fizikal. Siangnya panjang jika dibandingkan dengan malam. Makanya, ramai di antara kita sanggup menggadaikan waktu tidurnya pada malam hari untuk menelaah pelajaran yang belum habis dibaca. Namun, yang lebih menyedihkan, saat kita terjaga daripada lena, matahari sudah terpacak di atas kepala dan subuh sudah entah ke mana. Kalau berpagi-pagian sudah pun sedemikian rupa, mampukah berkat Tuhan mengiringi kita hingga ke malam? Tepuklah dada, tanyalah iman.

images (5)

Hakikatnya, kehidupan seharian kita itu telah ditetapkan-Nya mengikut waktu solat. Tetapi, masih ramai yang gagal mengatur kehidupan mereka. Mungkin kita tidak sedar bahawa laungan azan 5 kali sehari itu sebenarnya sahutan utama menuju kejayaan. Namun, masih ramai yang melengahkan waktu solat hingga ke akhir waktunya. Adakah sahutan yang acap kali kita lengahkan itu, bererti diri sendiri yang ingin Tuhan menangguhkan segala urusan hidupnya juga? Bertanyalah pada akal yang masih waras. Maka, benarlah kata pepatah, “manusia yang gagal merancang itu sebenarnya manusia yang gagal untuk merancang”. Susunlah masa yang kita peroleh dengan sebaiknya ketika mengulangkaji pelajaran dan membuat persediaan rapi mengikut acuan daripada Tuhan.

images (3)

Dua nikmat penting yang seringkali manusia rasa hanyut sehingga lupa untuk menitipkan rasa syukur iaitu punya masa lapang dan rasa sihat. Kita mula berasa sangat menyesal apabila masa lapang yang ada dihabiskan begitu sahaja dan kini hanya mampu memandang sepi buku-buku yang tersusun tebal di atas meja. Bagaikan tidak mampu untuk habiskan semuanya dalam masa yang singkat. Namun, perjuangan harus diteruskan dan penyesalan terdahulu dijadikan sebagai pengajaran agar tidak berulang lagi. Tidak semua yang mampu menamatkan peperiksaan dengan jayanya, ada sebahagiannya diuji kesihatannya saat di pertengahan jalan. Pinjaman nikmat sihat ditarik sementara untuk menguji tahap kesabaran yang ada. Menahan kesakitan ini sebenarnya lebih sukar jika dibandingkan dengan menghadapi ujian dunia atau peperiksaan. Berusahalah menjaga kesihatan diri dengan sebaiknya kerana akal yang cerdas itu datang daripada tubuh badan yang cergas.download

 

Redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Ke mana berkatnya usaha seorang anak jika tidak diminta pada Tuhan dan orang tuanya. Dalam asyik melayan kesibukan dunia untuk peperiksaan, jangan dilupakan insan  yang tidak pernah sesekali meninggalkan kita dalam setiap  doanya. Berhubunglah selalu untuk memohon kekuatan agar segala yang dihajatkan menjadi nyata. Kejayaan yang bakal diraih juga adalah hadiah teristimewa buat mereka yang sentiasa menantikan kita di tanah air sana.images (8)
Tiada tempat yang lebih menggerunkan melainkan saat kita berada di dalam dewan peperiksaan. Pelbagai ragam menghiasi tubir mata, ada yang resah kerana kurangnya persediaan mereka, ada yang duduk dengan tenang saja menantikan kertas soalan untuk dijawab dan ada juga mulutnya terkumat-kamit menghafal segala isi yang tertulis di dalam buku. Semua kerenah ini melambangkan sejauh mana tahap persediaan mereka sebelum menghadapi peperiksaan. Namun persediaan terbaik bagi seorang pelajar saat menghadapinya adalah duduk dengan tenang, yakin dengan apa yang telah diusahakan sebelum ini pasti ada hasilnya dan melazimi diri dengan selawat supaya apa yang dibaca kekal dalam ingatan.
Sebaik-baik ilham itu daripada Tuhan, andai kita diuji dengan ingatan saat sedang khusyuk mencatat jawapan, berselawatlah agar dikembalikan ingatan dan ilmu daripada pemilik segala ilmu. Setiap perjuangan itu tiada ertinya jika tidak dimulakan dengan menyebut nama-Nya yang suci dan tidak lengkap jika tidak diakhiri dengan rasa syukur dan tawakal. Sudah menjadi adat hidup bertuhan, setelah berusaha makanya bertawakallah sedaya upaya kepada perancang takdir.

images (7)
Rasa gentar dihembus lega apabila setiap kali berakhirnya peperiksaan. Tetapi tidak bermakna segala perjuangan hanya terhenti setakat itu sahaja. Masih ada lagi yang perlu diusahakan selagi natijahnya tidak diketahui umum. Gandakan usaha selagi mampu dengan teruskan berdoa supaya keputusan yang dikurniakan-Nya selari dengan apa yang dihajatkan dalam hati. Seandainya yang bakal diperoleh itu di luar jangkaan, persiapkan diri dengan hati yang lapang dan terima seadanya kerana mungkin itu adalah yang terbaik untuk kita. Tuhan mengurniakan apa yang kita perlu, bukannya apa yang kita mahu.
Jangan dilupakan orang-orang di sekeliling kita yang turut sama berjuang tika susah dan senang. Saat mereka dilanda keresahan, hadirkanlah diri untuknya dengan lontaran kata-kata yang mampu menghidupkan kembali rasa yang hampir tenggelam mati. Wujudkan jiwa-jiwa yang saling menguatkan antara satu sama lain dan bersikap positif dengan apa yang hadir di depan mata. Saat berjauhan dengan keluarga, hanya sahabat terdekat yang menjadi penguat semangat.
Lumrah insan yang mengecapi kejayaan dalam peperiksaan, hanya sekadar ukuran di mata manusia sahaja. Pabila berjaya disanjung, pabila gagal diabaikan. Namun, kejayaan yang sebenar adalah apabila berjaya melalui setiap ujian kehidupan sehingga kembali kepada-Nya. Seperti kata Dr Muhaya “apabila kita kejar dunia, dunia yang kita dapat, apabila kejar akhirat, dunia ada bersama “.images

Buat yang bakal dihadiahkan dengan kejayaan cemerlang, jangan lupa untuk bersujud syukur. Terkadang berjaya ini mendatangkan dua erti sama ada nikmat atau boleh jadi musibah saat rasa riak menguasai diri. Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin semangat. Buat yang natijahnya tidak seperti yang diimpikan, kalian sebenarnya bukanlah gagal, tetapi kejayaan kalian hanya ditangguhkan Tuhan buat sementara waktu. Jika tidak hari ini mungkin esok adalah hari yang terbaik. Tuhan mahu memandang sesuatu yang lebih istimewa daripada kalian kerana Tuhan menguji mengikut kemampuan hamba-Nya. Jangan pernah lelah untuk berusaha kerana Tuhan lebih memandang usaha daripada hasil yang diperoleh. Tinggikan pengharapan hidup kita hanyalah kepada-Nya yang lebih berhak. Bangkitlah hari ini sebagai hamba Allah yang bersedia untuk peperiksaan, bukannya hamba kepada peperiksaan.images (2)

 

Artikel disediakan oleh,

 

” Bridging the Community ”

Unit Risalah dan Karya,

Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2016/ 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *