Study Group: Kehendak Islam vs Kehendak Nafsu

بسم الله الرحمن الرحيم

Pendahuluan

Segala puji dan syukur bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Sayyidina Muhammad, keluarganya serta sahabat-sahabat dan para tabiin.

Ini satu tulisan bagi menyatakan hukum berkaitan ‘study group’ yang melibatkan pelajar lelaki dan perempuan Islam. Kita semua maklum dalam hidup kita tidak boleh keluar daripada ruang lingkup hukum syara’ sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan haram. Daripada hukum-hukum inilah menyebabkan kita boleh menilai perbuatan dan amalan kita sama ada mendapat pahala, dosa ataupun sia-sia.

Di sini kami nyatakan dalil berkaitan dengan hukum yang kita bincangkan moga bermanfaat buat sekalian pelajar yang beriman kepada Allah. Mudah-mudahan menambahkan sedikit pengetahuan agama kita.

Kami pecahkan kepada tiga bahagian:

Pertama- Hukum memandang bagi lelaki dan perempuan.

Kedua- Hukum bercampur lelaki dan perempuan.

Ketiga- Hukum ‘study group’ lelaki dan perempuan.

Pertama- Hukum memandang bagi lelaki dan perempuan

Mari kita hayati firman Allah taala dalam surah an-Nur ini:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat

Ini merupakan perintah Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman agar mereka menahan pandangan dari perkara yang haram dilihat. Janganlah melihat kecuali kepada hal-hal yang dibolehkan untuk dilihat dan hendaklah mereka menahan pandangan dari perkara-perkara  yang haram untuk dilihat, maka hendaklah ia segera memalingkan pandangannya seperti yang diriwayatkan oleh Muslim dalam shahihnya, dari Abu Zur’ah bin Amr bin Jarir dari atoknya, yakni Jarir bin ‘Abdillah Al Bajali RA, ia berkata “Aku bertanya kepada rasulullah SAW tentang pandangan spontan. Beliau memerintahkanku agar segera memalingkan pandangan.”

Jelas dalam ayat diatas bahawa memandang kepada wanita ajnabi adalah perkara yang perlu dijauhi, As shehk Sha’rawy pernah ditanya bagaimana hukum melihat wanita,beliau menjawab adakah terlihat atau melihat? Dia berkata lagi jika terlihat maka bukankah Allah menciptakan mata mu mempunyai kelopak,tutuplah jika terlihat pada wanita yang kamu ghairah melihatnya.jelas pada kita bahawa menjaga mata bagi lelaki ialah menundukkan pandangan matanya  dari melihat kaum wanita.

Begitu juga wanita ,mari kita lihat firman Allah ini:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Dan katakanlah kepada wanita beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki mereka, atau putera saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan –pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Kata Imam Ibnu Kathir menahan pandangan mata bagi wanita:

Maksudnya menahan dari apa-apa yang diharamkan oleh Allah pada mereka yaitu memandang kepada selain suami-suami mereka,oleh sebab itulah kebanyakan ulama’ berpendapat bahwa tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat lelaki lain dengan syahwat maupun tidak syahwat sama sekali.
Mereka berhujah dengan hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi dari hadisnya Az Zuhri dari Nabhan Maula Ummu Salamah sesungguhnya Ummu Salamah menceritakannya:
“Sesungguhnya Maimunah berada disamping Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkata, “ketika kami disamping Rasulullah, Ibnu Ummi Maktum menghadap kemudian dia masuk kepada Rasulullah, dan ini setelah kami diperintah utk berhijab.”

Kemudian Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Tutupilah kalian berdua darinya.”
Aku berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah dia buta tidak bisa melihat dan mengenali kami?”
Rasulullah bersabda: “Apakah kalian berdua buta? Bukankah kalian berdua melihatnya?”
Imam Tirmidzi berkata: Ini hadis Hasan shohih.

Jelas sekali dalam keadaan yang tidak mendesak kita orang yang beriman lelaki dan perempuan tidak dibenarkan memandang antara satu sama lain.

Ada orang cuba mempersoalkan habis bagaimana jika dalam situasi bekerja kami sebagai seorang doktor perlu melihat pesakit lain jantina, bagaimana untuk kami lakukan ini jika kami tidak dibiasakan bergaul bahkan tak boleh melihat pun diwaktu belajar? Sebenarnya situasi darurat tak perlu dilatih, kita tak pernah mendengar orang berlatih makan babi sebab takut geli nak makan bila tak ada makanan nanti. Jadinya itu adalah alasan iblis untuk membinasakan kita dengan membiasakan kita tidak merasa malu memandang dengan keghairahan yang diharamkan oleh Allah. Di sini ada beza memandang dan terpandang, kadang kita berjalan ada lelaki atau wanita lain depan kita, ini tiada masalah sebab kita memandang jalan kita bukan memandang orang depan kita, bukan agama suruh kita tutup mata waktu berjalan, tetapi jangan mencari si cantik atau si kacak untuk mencuci pandangan, itu yang tak boleh, itu yang Islam larang.

Melihat yang sunnah pada wanita atau lelaki asing hanya pada waktu meminang, namun oleh kerana zaman hari ini orang Islam sudah mula meninggalkan ajaran Islam sehingga menjadi perkara biasa melihat lelaki perempuan bahkan berbual macam tak ada penghalang lagi, sehingga bila kita melihat ajaran agama kita dengan pandangan pelik dan mundur, namun bukan disini tempat untuk kita bahaskan tajuk ini, insha Allah diruangan lain yang lebih khusus untuk dibincangkannya. Moga kita faham, wallahua’lam.

Kedua- Hukum bercampur lelaki dan perempuan

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim:

عن ابي هريرة قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَخَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُه

Daripada Abu Hurairah berkata ia: telah bersabda Nabi sallahu alaihi wasallam: sebaik-baik saf jemaah lelaki dalam solat ialah saf yang awal, seburuk-buruk saf lelaki ialah yang belakangnya, dan sebaik-baik saf jemaah wanita ialah yang belakangnya, dan seburuk-buruk saf wanita ialah yang awalnya.

Maksud hadis ini seperti yang disyarahkan oleh As-Sheikh Muhammad Amin Harari: Nabi memberitahu tentang golongan yang solat jemaah yang paling tinggi kedudukannya iaitu fadhilatnya bagi kaum lelaki ialah yang duduk saf depan, dan serendah-rendah kedudukannya iaitu fadhilatnya ialah yang duduk saf belakang, dan sebaik-baik saf wanita iaitu yang solat dimasjid dengan jemaah lelaki ialah yang duduk saf belakang dan besar pahalanya dan tinggi kelebihannya kerana jauh dari saf jemaah lelaki, dan seburuk-buruk saf wanita dan sedikit pahalanya serta rendah kedudukannya ialah yang paling depan kerana dekat dengan saf lelaki. Adapun perempuan yang solat dengan jemaah perempuan tanpa jemaah lelaki maka yang paling banyak pahala dan tinggi kedudukannya ialah yang duduk saf depan.

Berdasarkan keterangan para ulama, bahawa dulu zaman nabi saf paling depan wanita adalah paling rapat dengan saf lelaki kerana keadaan masjid yang ketika itu masih kecil jika nak dibanding sekarang. Menyebabkan jemaah wanita yang berada disaf pertama sangat dekat dengan saf lelaki. Dari sebab inilah menyebabkan pahala berkurang kerana hampir dengan saf lelaki, dan yang saf belakang lelaki pula hampir dengan wanita.

Sampai dalam solat Islam menjaga antara lelaki dan wanita tak mendapat kelebihan pahala sebab duduk berdekatan, inikan pula duduk pada waktu selain waktu solat. Sedangkan tempat yang paling jauh manusia untuk berfikir perkara maksiat iaitu dalam masjid dan ketika solat pun nabi bersabda seperti ini, bagaimana pula ditempat lain dan bukan waktu solat. Oleh kerana itu, bila kita melihat para ulama membahaskan masalah ini, ada dikalangan mereka yang melarang keras percampuran lelaki perempuan tanpa sebab yang munasabah pada syara’. Namun oleh kerana zaman hari ini kita sudah dibiasakan dari kecil bercampur lelaki dan perempuan menyebabkan kita merasa susah untuk mengasingkannya. Namun bagi orang yang beriman mereka sanggup melakukan apa sahaja setelah datang kepada mereka ilmu dan peringatan daripada Allah, mereka sanggup menyahut perintahnya demi terus berada diatas landasan sebenar dan tidak tersesat mengikut jejak langkah syaitan.

Mari kita hayati hadis ini.

أن رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ:  تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Aku tinggalkan pada kamu semua dua perkara yang kamu tak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang kepadanya: kitab Allah dan Sunnah NabiNya.

Fahamlah kita bahawasanya bercampur lelaki dan perempuan adalah menyalahi sunnah Rasul kesayangan kita.

Ketiga- Hukum ‘study group’ lelaki dan perempuan

Berdasarkan perbincangan kita diatas maka kita boleh simpulkan hukum ‘study group’ lelaki dan perempuan kepada dua perkara:

  • Boleh jika sekiranya tidak berduaan,namun perlu dijaga batas-batas seperti berikut :
  • Jangan terlalu rapat antara lelaki dan perempuan
  • jika ada seorang yang membentang lelaki diutamakan berada dihadapan
  • tidak memakai pakaian yang ketat sehingga nampak susuk tubuh.mestilah berpakaian wanita muslimah yang besopan.
  • Jangan saling memandang kerana percayalah iblis akan menabur benih keinginan jahat dengan memandang kepada kecantikan dan kekacakan masing-masing.
  • Jangan bergurau senda sesama lelaki dan wanita sehingga sudah tiada perasaan malu kerana malu adalah sifat mulia seorang yang beriman.
  • Bercakaplah ketika diminta bercakap atau hanya ketika diperlukan sahaja.
  • Mulakan dengan memberi sedikit tazkirah tentang bagaimana adab-adab agama dalam pergaulan lelaki dan wanita.
  • Tidak boleh jika masing-masing laki-laki dan perempuan hanya ingin menambahkan semangat study bila bersama,bahkan perkara begini akan membawa kepada kerosakkan yang sangat besar iaitu zina seluruh anggota badan.

Mari kita hayati sebuah hadis baginda dalam sahih Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ، وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ، وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ، وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ، وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا، وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى، وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallalahualaihi wasallam, telah bersabda ia: Ditulis ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti dia akan lakukannya tidak mustahil, kedua biji mata zinanya melihat (pada yang haram, atau asyik dengan kejelitaan dan kekacakan seseorang) kedua telinga zinanya ialah mendengar (suara yang mengsyikkan dan penuh dengan syahwat), lidah zinanya bercakap (berkata-kata dengan kata-kata yang mengghairahkan), tangan zinanya sentuh, kaki zinanya berjalan (ketempat yang membawa kepada syahwat), hati pula memasang keinganan dan cita-cita, dan kemaluanlah yang mengiyakan atau menidakkan.

Oleh kerana itu Islam menyekat semua ruang dan jalan kearah pengzinaan, kerana ia bermula dengan lihat, kemudian asyik dengan kata-kata manis, kemudian bercakap dengan sura manja, dan akhirnya akan membawa kepada berpegang-pegangan sehingga terjadinya pengzinaan waliyazubillahi min zalik.

Ada orang cuba memberi alasan itu dan ini untuk membolehkan juga apa yang dia ingin lakukan, kami menyampaikan amanah Allah yg ditinggalkan rasul kepada kita orang yang beriman jangan kita memberi alasan sehingga kita tersesat tidak jumpa jalan pulang. Bila kita mati kelak pasti kita akan menyesal.

Oleh itu jika tidak menjadi keperluan study group lelaki dan perempuan maka lebih baik lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, ia lebih dekat dengan ketakwaan dan lebih jauh dari fitnah. Semoga kita semua berjaya didunia dan akhirat sebagai orang-orang yang cemerlang dan selamat dari siksa neraka Allah.

Wassalam.

Oleh: Ustaz Jamiluddin bin Murat al-Yamani

logo jaksi untuk hard copy“Haq Tertegak Biah Terpelihara”

Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)

PERUBATAN Cawangan Tanta 2015/2016