TANTA, 23-25 SEPTEMBER – Telah berlangsung program sambutan hari raya Aidil Adha (SAADAH) 1436H dengan jayanya yang bertempat di Dewan Pelajar Tanta (DPT) dan Pejabat PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) serta kawasan di sekitarnya. Program ini melibatkan Mahasiswa dan Mahasiswi Sains Kesihatan dan Pengajian Islam di Tanta. Program SAADAH 1436H anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI), PCT sesi 2015/2016 dengan kerjasama Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) sesi 2015/2016 telah berlangsung selama tiga hari berturut-turut.

Program yang bertemakan “Rasul Qudwah Tadhiyyah” ini bertujuan untuk memperingati sejarah besar pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam terhadap anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalam dan juga untuk meningkatkan rasa syukur kita ke hadrat Ilahi diatas kurniaan nikmat yang tiada berbelah bagi,adil dan saksama kepada hambaNya selain menyeru ahli PCT untuk meneladani pengorbanan para Rasul dalam menegakkan agama Allah swt di muka bumi ini. Program ini adalah anjuran kali ketiga di bawah kelolaan PCT. Usaha ini dilakukan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada sahabat – sahabat yang tidak pulang ke tanah air untuk bersama- sama meraikan Aidil adha pada tahun ini.

12038277_883872988333913_6813081898296395232_n 12074774_883873101667235_5667603706899180993_n

Hari pertama program dimulakan pada waktu petang dengan taklimat awal sembelihan korban bagi yang mengambil bahagian dalam korban manakala pada waktu malam pula diadakan majlis TWEET sempena malam 9 Zulhijjah yang jatuh pada 23 September 2015. Semua ahli berkumpul di DPT dan majlis dimulakan dengan solat Isyak secara berjemaah disusuli dengan takbir hari raya.Pengerusi PCT, saudara Mohammad Luqman Hakim bin Mohamad Noor telah menyampaikan perutusan khas Presiden PERUBATAN diikuti oleh Ustaz Taufik bin Daud, bendahari DPMT juga mewakili Pengerusi DPMT menyampaikan perutusan khas beliau. Majlis diteruskan dengan TWEET Korban yang disampaikan oleh Ustaz Hazir bin Che Hashim bertajuk “Ibrah Ibadah Haji”. Ahli majlis kemudian dihidangkan dengan juadah ringan sebelum bersurai.

12088149_883872861667259_3150472333971911866_n

Pada 24 Oktober 2015 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1436H, gema takbir raya kedengaran berkumandang seawal 6.00 pagi di bumi Sidi Badawi. Solat hari raya diadakan di Istad dan juga di masjid- masjid tertentu. Selesai solat hari raya, program diisi dengan program sembelihan haiwan korban dan melapah. Seawal jam 7.00 pagi, peserta berkumpul di tempat sembelihan sebelum upacara dimulakan. Pada tahun ini, sebanyak 11 ekor kambing, seekor khoruf dan seekor unta telah dikorbankan. Selepas proses penyembelihan selesai, upacara diteruskan lagi dengan melapah daging- daging yang disembelih. Aktiviti merewang untuk jamuan hari raya juga dijalankan pada hari yang sama iaitu selepas Maghrib di DPT.

12032981_883874721667073_8777803821608094587_n 12039432_883875461666999_1198069723034732174_n

Hari terakhir program SAADAH  diteruskan lagi dengan Hari Jamuan Raya Aidil Adha yang diadakan di pejabat PCT bagi ikhwah dan di DPT bagi akhawat. Antara menu juadah yang disediakan pada hari jamuan raya ialah nasi minyak, kambing masak gulai, rendang unta dan acar serta sedikit buah-buahan seperti anggur. Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi bergambar dan juga dendangan lagu-lagu sambil menjamah juadah yang disediakan. Upacara jamuan raya berakhir pada sebelah petang.

12046683_883877405000138_7037355649992184252_n 12065578_883877341666811_8317257169926812052_n

Bersempena SAADAH ini, diharapkan agar semua warga Tanta dan Mesir umumnya, dapat menjiwai ibadah korban yang dilakukan serta menghayati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim dan semoga ibadah ini diterima Allah S.W.T. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ahli jawatankuasa pelaksana dan ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah bertungkus- lumus menjayakan program SAADAH 1436H ini.

12043176_883877548333457_1983988147587684415_n

Disediakan oleh : Izni Syazwina binti Mazri, Setiausaha SAADAH 1436H.