[BERITA] SAADAH 1435H: MENGHAYATI PERJUANGAN, MEMAKNAKAN PENGORBANAN

s

TANTA, 3-6 OKTOBER – Telah berlangsung program sambutan hari raya Aidiladha SAADAH 1435H dengan jayanya yang bertempat di Dewan Pelajar Tanta (DPT) dan Pejabat PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT). Program ini melibatkan Mahasiswa dan Mahasiswi Sains Kesihatan dan Pengajian Islam di Tanta. Program SAADAH 1435H anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI), PERUBATAN Cawangan Tanta sesi 2014/2015 dengan kerjasama Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) sesi 2014/2015 telah berlangsung selama empat hari berturut-turut. Program ini bertujuan untuk memperingati sejarah besar pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihisalam terhadap anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalam bagi mengenang kehebatan kisah seorang Rasul, seorang Khalilullah, membuat satu pengorbanan agung. Kekentalan jiwa seorang ayah dan kebesaran hati seorang anak adalah sirah yang perlu dikenang pada AidilAdha. Program ini adalah kali kedua di bawah kelolaan PERUBATAN Cawangan Tanta. Usaha ini juga untuk memberikan ruang dan peluang kepada sahabat – sahabat yang tidak pulang ke tanah air bagi sama- sama meraikan Aidiladha pada tahun ini serta merapatkan ukhuwah sesama junior dan senior dalam kalangan mahasiswa/wi Tanta.

 

s2

Hari pertama program dimulakan dengan majlis TWEET sempena malam 9 Zulhijjah yang jatuh pada 3 Oktober 2014. Semua ahli berkumpul di DPT dan majlis dimulakan dengan iftar sempena puasa sunat Hari Arafah. Perutusan Hari Raya Aidiladha berbentuk video rakaman disampaikan oleh Presiden PERUBATAN, ‘Arif Rukaini bin Sufian. Majlis diteruskan dengan ceramah TWEET Korban yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Khairul Abdan bin Baharudin Tahun 4 Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar bertajuk “Tadhiyyah” bagi menghangatkan lagi suasana malam raya sekaligus memberi penghayatan tentang pengorbanan menurut Islam. Ahli majlis kemudian dijamah dengan juadah ringan sebelum bersurai.

Pada 4 Oktober 2014 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1435H, gema takbir raya kedengaran berkumandang seawal 6.00 pagi dibumi sidi badawi. Kabus pagi menandakan warga Tanta sedang menyambut ketibaan musim sejuk. Seawal itu jugalah warga Tanta keluar beramai-ramai berjalan bagi menghadap Ilahi pada pagi barakah itu.

 

s3

Solat Hari Raya diadakan di Istad, juga dimasjid masjid tertentu. Bagi mahasiswa baru, ini merupakan pengalaman pertama beraya diperantauan, berjauhan dengan keluarga bersama rakan-rakan baru menyambut perayaan dibumi dagangan ini. Selesai solat hari raya, warga Tanta mengambil peluang di hari yang mulia itu, bagi melakukan ziarah antara satu sama lain. Satu sunnah kekasih kita Muhammad s.a.w yang semakin dilupakan oleh orang yang mengaku sebagai pengikut Muhammad. Ziarah adalah salah satu tunjang ikatan ukhuwah antara sesama Muslim, maka itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kita semua.

s4

 

s5

Hari ketiga program diisi dengan Hari Sembelihan Haiwan Korban dan Melapah. Seawal jam 7.00 pagi peserta berkumpul di tempat sembelihan untuk mendengar taklimat ringkas sembelihan sebelum upacara dimulakan. Sebanyak 29 ekor kambing, seekor khoruf dan seekor unta telah ditempah oleh peserta korban.

 

s6

Proses penyembelihan dimulakan dengan menyembelih unta kemudian diikuti kambing dan khoruf. Upacara diteruskan lagi dengan melapah daging-daging yang telah disembelih. Kemudian proses pengagihan 1/3 daripada haiwan korban untuk peserta, 1/3 untuk diagihkan kepada fakir miskin Arab Mesir dan 1/3 lagi untuk jamuan kemuncak raya pada keesokan hari. Pengagihan daging korban untuk fakir miskin berjalan pada waktu petang selepas solat Asar.

Aktiviti merewang dan gotong-royong untuk jamuan raya dijalankan pada hari yang sama dan terbahagi kepada dua sesi iaitu pada selepas zohor untuk akhawat di pejabat PCT dan ikhwah selepas mahgrib di DPT.

s7

Hari Raya Aidiladha tidak lengkap rasanya jika tiada rumah terbuka PCT maka hari terakhir program SAADAH 1435H diteruskan dengan Hari Jamuan Raya Aidiladha yang diadakan di pejabat PCT bagi ikhwah dan DPT bagi akhawat. Sambutan hangat dan meriah dengan kehadiran ahli pelajar yang datang dengan lengkap berbaju kurung dan berbaju melayu. Antara menu juadah yang disediakan pada hari jamuan raya ialah kambing masak gulai, daging unta goreng, acar serta sambal belacan. Majlis ditambah kemeriahan dengan sesi bergambar serta dendangan lagu-lagu nasyid sambil menjamah juadah yang disediakan. Upacara jamuan raya berakhir pada sebelah petang.

s8(1)

Meskipun suasana raya di perantauan jauh berbeza dengan tanah kelahiran sendiri namun Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi, dengan limpahan rahmat dan berkat dari-Nya program SAADAH 1435H telah disambut meriah oleh mahasiswa/wi sains kesihatan dan pengajian Islam yang berada di Tanta. Semoga program ini dapat merapatkan lagi ukhwah yang sedia terjalin dalam kalangan mahasiswa/wi Tanta.

s8

Akhir kalam, diharapkan agar semua mahasiswa/wi di Tanta dan Mesir umumnya, dapat menjiwai ibadah korban yang dilakukan serta menghayati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim dan semoga ibadah ini diterima Allah S.W.T. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ahli jawatankuasa dan ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang penat lelah serta bertungkus lumus menjayakan program SAADAH 1435H ini.

 

 

 

 

Pautan lain:

| Home | Universiti | Education Malaysia | About PCT | Contact Us | Carta Organisasi PCT |

Perkhidmatan Lain:

| Pejabat PCT | E-Aduan | E-Kaunseling | TKS | Jadual Mushrif | Peminjaman Aset | Carta Alir Posting Elektif | |Panduan Melanjutkan Pelajaran Ke Timur Tengah|

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *