KESELAMATAN DAN ELEKTRIK SEPANJANG MUSIM PEPERIKSAAN

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan  ke hadrat Allah S.W.T kerana sehingga saat ini dan ketika ini kita terus menerus dikurniakan nikmat yang pelbagai oleh Allah. Juga selawat dan salam ke atas rasul junjungan kita, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa sallam kerana dengan perit jerih Baginda, maka kita pada hari ini mengecapi nikmat Iman dan Islam, dua nikmat yang hanya dikurniakan  kepada insan terpilih di dunia ini.

    Alhamdulillah, setelah sekian lama berhempas pulas belajar di kuliah juga di rumah, maka musim peperiksaan yang dinanti-nanti bakal menjelang tiba suatu hari nanti bagi pelajar perubatan dan sudahpun tiba bagi kalangan pergigian.

    Walaubagaimanapun, isu keselamatan rumah serta isu elektrik yang telah sedikit sebanyak merunsingkan sebahagian warga Mesir amnya dan warga Tanta khasnya tidak harus diambil ringan.

     Isu keselamatan yang masih belum stabil di Mesir terutamanya buat warga asing di bumi Mesir terbukti dengan kejadian pecah rumah yang berlaku di beberapa rumah warga Malaysia di Mansurah baru-baru ini. Maka diingatkan kepada semua ahli keluarga PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) untuk sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga  dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

1.    Sentiasa mengunci pintu pagar rumah walaupun berada di rumah.
2.    Sentiasa memastikan pintu rumah ditutup walaupun berada dalam rumah.
3.    Memaklumkan kepada jiran Malaysia seimarah  atau imarah yang lain seandainya ingin keluar rumah pada jangka masa yang lama dan di luar Tanta.
4.    Memastikan pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna tatkala ingin tidur pada waktu malam.
5.    Mengamalkan adab masuk dan keluar rumah serta adab tidur dengan sempurna untuk mengelakkan dari dipukau atau disihir sehingga menyebabkan rumah dipecah masuk.
6.    Sentiasa berjaga-jaga tatkala ada warga Mesir yang masuk ke rumah, dan akhawat seharusnya memastikan kewujudan musyrif bersama.
7.    Membaca بسم الله توكلت على الله ولاحول ولاقوة إلا باالله tatkala keluar meninggalkan rumah.
8.    Sentiasa menghidupkan amal agama di dalam rumah supaya rumah sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T

     Berkenaan isu elektrik yang tidak berkesudahan, pihak Unit Perumahan (UPPER) telah berusaha dengan membawa beberapa  kes ke syarikat elektrik di Awal Bahr, walau bagaimanapun, hanya kes pertama sahaja  yang berjaya dikurang kan jumlah pembayarannya dan usaha yang seterusnya disusuli dengan kegagalan.  Sehubungan dengan itu, pihak UPPER ingin mengingatkan kepada semua agar segera mengambil langkah berjimat cermat, dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

1.    Padam semua lampu bilik atau ruang yang ada di rumah sekiranya tiada sesiapa di situ.
2.     Tutup semua suis peralatan elektrik dan elektronik jika tidak digunakan. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan dalam mode ‘standby’.
3.    Sebaik-baiknya gunakan kipas angin (kipas dinding atau kipas berdiri) dan elakkan penggunaan penyaman udara.
4.    Gunakan satu mentol lampu yang besar jika memerlukan lebih pengcahayaan berbanding menggunakan mentol yang bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya.
5.    Elakkan penggunaan mesih basuh yang melebihi muatan (‘overload’) atau pun muatan penuh. Sebaiknya muatan tidak terlalu penuh. Selain hasil cucian yang kurang bersih ia juga mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.
6.    Pastikan pintu peti ais ditutup rapat setelah digunakan.
7.    Rajin membersihkan habuk atau debu yang terdapat di koil peti ais anda.
8.    Freezer yang penuh mengurangkan penggunaan tenaga. Jadi sekiranya ‘freezer’ peti ais anda kosong, isikannya dengan kiub ais atau bekas ais supaya tenaga tidak dibuang begitu sahaja.
9.     Elakkan menyimpan makanan yang panas atau yang baru dimasak dalam peti ais.
10.    Menghentikan penggunaan sakhonah dan difayah.
11.    Jika anda merancang untuk bercuti atau balik kampung, setkan peti ais anda pada suhu yang minima.
12.    Semak bil eletrik bulanan anda. Pantau dari semasa ke semasa dan adakah ia konsisten, turun atau naik. Jika meningkat sehingga melebihi LE1500 cuba tips yang telah diberikan atau segera laporkan kepada UPPER. Analisis juga sama ada anda ada membeli peralatan elektik atau elektronik yang baru. Jika ada gunakannya secara bijak dan kawal penggunaannya.

     Akhir kata, semoga musim peperiksaan ini dapat dilalui dengan sempurna dan tiada sebarang masalah yang berlaku. Semoga semua ahli keluarga PCT dipermudahkan Allah dalam menghadapi peperiksaan dan pulang ke Malaysia semasa cuti Ramadhan dan Aidilfitri nanti dengan kejayaan yang cemerlang. Selamat maju jaya.

At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah
Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati

Mohammad Luqman Hakim bin Mohamad Noor,
KETUA UNIT PERUMAHAN,
PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR PERUBATAN MALAYSIA-MESIR(PERUBATAN) CAWANGAN TANTA
SESI 2011/2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *