[Glow With Flow] “Kekecewaan dan Kemeriahan” – Pergigian

Khamis, 27 Oktober 2011 – Mengambil tempat di dewan kuliah fakulti pergigian, Universiti Tanta, telah berlangsung satu program khas untuk para pelajar pra-pergigian. Program yang diberi nama, ‘Glow with Flow’ ini memberi ruang untuk para mahasiswa fakulti pergigian untuk lebih mengenali antara satu sama lain sekaligus membentangkan secara ringkas apa yang akan dipelajari oleh mahasiswa pra-pergigian bagi sesi 2011/2012 ini.

      Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, program yang sepatutnya dihadiri oleh 53 orang mahasiswa pra-pergigian ini hanya mencapai kehadiran sebanyak 10 peserta. Pembatalan kehadiran majoriti peserta di saat-saat akhir ini agak mengecewakan ahli jawatankuasa program yang berpenat lelah merangka program besar-besaran ini. Biarpun begitu, mereka tetap bertungkus lumus meneruskan program dengan senyuman dan berusaha mencapai target atau tujuan program tersebut. Selain itu, kesemua 46 orang mahasiswa tahun satu pergigian turut hadir memeriahkan majlis.

      Majlis dimulakan dengan pendaftaran pada jam 10.30 pagi diikuti dengan sesi bacaan doa. Usai bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan wakil PCT, saudara Mohammad Farid bin Ismail dan pengarah program, iaitu saudara Azhari Azizan. Kemudian agenda dipanjangkan lagi dengan perencah utama program ‘Glow with Flow’ ini, iaitu slot forum yang dipanelkan oleh 4 pelajar tahun pertama pergigian dan dipengerusikan oleh seorang pelajar pra-pergigian.

      Antara intisari forum tersebut ialah, pengenalan serba sedikit tentang subjek-subjek yang perlu dihadapi para mahasiswa pra-pergigian dan format peperiksaan masing-masing. Tidak ketinggalan, para ahli panel juga turut berkongsi pengalaman pahit manis mereka selama berada di ardul kinanah ini.

      Selesai slot forum, bermulalah sesi yang paling digemari para peserta iaitu slot permainan. Peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan permainan-permainan santai diperkenalkan. Meskipun ada kalah dan ada yang menang, tetapi itu tidak menjadi batu penghalang untuk senior-junior mengenali antara satu sama yang lain. Tak kenal maka tak cinta.

      Program yang bermula sejak pagi akhirnya melabuhkan tirai pada jam 3.30 petang. Harapan agar ikatan silaturrahim yang dibina terus kekal sehingga ke hujung nyawa.

Disediakan oleh : Nadiatul Akmal binti Badrul Hairi 

 
==============
Media powered by

 

===============

O f f i c i a l   l i n k s

===============

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *