Perutusan Hari Raya Aidilfitri

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil-hamd.

Syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya kita semua masih dikurniakan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitrisempena 1 Syawal 1432 Hijrah. Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam khususnya di bumi Mesir ini bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

Berakhirnya Ramadhan sering disambut dengan kesedihan oleh para sahabat radiallahu anhum.

Bagaimanapun, Rasulullah S.A.W bersabda bahawa ‘Aidilfitri adalah satu daripada Hari Perayaan yang lebih baik dikurniakan Allah S.W.T bagi menggantikan perayaan masyarakat sebelum kedatangan Islam. Maka, ia perlu disambut dengan syukur dan gembira.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri pada kali ini dengan penuh bermakna iaitu dengan membanyakkan amalan berzikir, bertakbir raya, menziarahi sahabat handai dan sebagainya. Ambillah peluang ini untuk saling bertanya khabar, mengeratkan tali silaturrahim dan jadikanlah ia sebagai satu platform atau satu titik pertemuan untuk menghubungkan keterikatan dan meleraikan segala persengketaan yang wujud antara kita selama ini. Amalan dan nilai murni semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti ini wajarlah disuburkan di kalangan mahasiswa Mesir, moga-moga dengan itu kita sama-sama dapat meribatkan kesatuan fikrah dan amal di seluruh mahasiswa Mesir pada hari ini.

Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. PERUBATAN menyeru untuk seluruh mahasiswa memahami erti sebenar Aidul fitri, iaitu kembalinya fitrah kebaikan kepada kita dan seharusnya kita menampilkan diri sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia setelah sebulan berkeupayaan untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam dan tibanya Syawalmenandakan keberadaan kita pada puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya.

Akhir kata, PERUBATAN selaku persatuan induk yang menaungi seluruh mahasiswa mahasiswi sains kesihatan di bumi ardul kinanah dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh mahasiswa mahasiswi di perlembahan Nil ini. Moga-moga dengan kehadiran hari kebesaran Islam ini mampu menyatukan hati-hati umat Islam dan sama-sama kita mendoakan agar segala kebaikan yang dilakukan di dalam madrasah bulan Ramadhan yang lalu diterima Allah S.W.T

Sekian.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil-hamd

TAQWA SYIFA’RAHMAH

Ilmuan Berbakti Teguh Sehati

Syafiq bin Hamdani

Presiden PERUBATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *