[ARTIKEL] Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri



“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

( Surah ar-Rum: Ayat 30)


Kehadiran Aidilfitri adalah satu limpahan nikmat yang amat besar di sisi Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya. Aidilfitri yang bermaksud hari raya fitrah, merupakan hari kebesaran umat islam di mana umat islam beroleh kemenangan. Pada perayaan ini, manusia dianggap kembali kepada fitrahnya yang sebenar setelah genap sebulan berpuasa memburu maghfirah Allah S.W.T. Kembalinya fitrah kepada kita, maka kita harus tampil sebagai manusia suci dan baik, dengan peningkatan kualiti beragama.

    Dalam menyambut Aidilfitri, adalah penting untuk kita menyambutnya seperti yang diajar oleh sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Justeru, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah sebenarnya amalan-amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam merayakan Aidilfitri.



1) BERTAKBIR

Bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan bertujuan untuk melambangkan syiar Islam. Takbir Aidilfitri bermula dari terlihatnya anak bulan dan berakhir ketika imam selesai berkhutbah.

“…Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah S.W.T.(dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

(al-Baqarah, ayat 185)
2) MANDI PADA PAGI HARI RAYA

    Disunatkan mandi di pagi hari raya sebelum berangkat ke tempat solat sunat Aidilfitri. Bahkan disunatkan mandi kepada semua, sama ada yang ingin menghadiri solat hari raya ataupun tidak kerana mandi ini bertujuan untuk menzahirkan kecantikan.

3) MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI

Disunatkan kepada orang islam makan sebelum mengerjakan solat Aidilfitri. Menurut al-Muhallab r.a: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat Aidilfitri adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah S.A.W ingin menutup prasangka begini.”

Anas bin Malik r.a meriwayatkan,
     “Rasulullah S.A.W. tidak keluar pada Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan beberapa tamar, baginda memakannya dengan bilangan ganjil.”

(Riwayat Bukhari)


4) MEMAKAI PAKAIAN YANG CANTIK

    Disunatkan kaum muslimin memakai pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam as-Syafie berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian yang terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya; iaitu hari Jumaat dan dua hari raya ( Aidilfitri dan Aidiladha) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

5) BERJALAN KAKI MENUJU TEMPAT SOLAT HARI RAYA

Umat islam dianjurkan untuk berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya.

Dari Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat hari raya dan makan sesuatu sebelum berangkat.” 

(Hadis riwayat Tirmizi)


6) MENGIKUTI JALAN YANG BERBEZA SEMASA PERGI DAN PULANG DARI SOLAT HARI RAYA

Dari Jabir bin Abdullah r.a:
“Nabi Muhammad S.A.W melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)


    Menurut Imam Qayyim al-Jauziyah, Rasulullah S.A.W berbuat demikian agar dapat bersalam dengan orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Ada yang berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka dan ada yang berpendapat supaya beginda dapat menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.

7) MENGERJAKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI

Syiar yang paling utama dalam Aidlfitri ialah solat sunat 2 rakaat Aidilfitri yang dikerjakan oleh umat islam.

Ibnu Abbas r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat sunat 2 rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelum dan sesudahnya.” 

(Hadis Riwayat Bukhari)


Disunatkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat sunat Aidilfitri.

Abdullah bin Sa`ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Rasulullah S.A.W. Setelah selesai solat, baginda bersabda: Sesunggguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa yang ingin dengar khutbah boleh duduk, dan sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” 

(Hadis Riwayat Abu Daud)


8) MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM HARI DALAM BULAN SYAWAL

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

PENUTUP

Selamat beramal. Moga-moga Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh keikhlasan, kebahagiaan dan selari dengan tuntutan Allah S.W.T dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Rujukan: Diringkaskan dari buku “Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri menurut Sunnah Rasulullah S.A.W.” terbitan Karya Bestari.

Unit Kempen & Promosi
Biro Pembangunan Insan 
PERUBATAN 2011/2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *